Sukan Hari Ini
Like

Tunku Ismail Sahkan 16 Pemain JDT II Dilepaskan

November 8, 2019
284 Views
0 Comments
3 minutes read
Tunku Ismail Sahkan 16 Pemain JDT II Dilepaskan

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang merupakan pasukan `reserve’ kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal melakukan transformasi besar-besaran pada saingan Liga Perdana musim depan.

Menurut BH Online, perkara itu didedahkan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui perkongsian di laman rasmi Johor Southern Tigers yang disiarkan secara langsung di platform media sosial kelab berkenaan, malam tadi.

Tunku Ismail berkata langkah untuk mentransformasi JDT II untuk memastikan perancangan besar yang bermula musim depan lebih tersusun terutama projek pembangunan akar umbi dan fasiliti kelab yang menjadi keutamaan.

Beliau menambah antara perancangan utama JDT adalah melepaskan 16 pemain JDT II termasuk tiga jurulatih kelab berkenaan dan Ervin Boban yang membimbing pasukan itu untuk muncul juara Piala Cabaran musim ini sudah mengesahkan tidak lagi bersama kelab itu selepas kontraknya tidak disambung.

“Bukan sahaja untuk tujuan penjimatan, langkah itu ibarat serampang dua mata kerana bakal membuka ruang kepada pemain dari JDT III dan JDT IV akan dibawa masuk ke JDT II untuk meraih pengalaman beraksi dalam saingan lebih kompetitif.

“Kami mahu jimat perbelanjaan kerana akan mengeluarkan banyak wang untuk stadium baharu kita pada musim depan.

“Apa kami buat? Saya tiada pilihan melainkan terpaksa melepaskan 16 pemain JDT II dan tiga orang staf juga dilepaskan.

“16 pemain JDT II akan keluar dari pasukan. Sebab, JDT II sebagai `reserve club’, umur pemain sudah 26 hingga 27 tahun, no point.” kata Tunku Ismail.

Bagi menggantikan Boban, Tunku Ismail sedang dalam perancangan untuk membawa jurulatih dari Sepanyol untuk membimbing JDT II pada saingan Liga Perdana musim depan dan ia adalah langkah untuk memastikan falsafah bola sepak JDT yang diterapkan pada skuad utama sehingga JDT Bawah 12 tahun selari.

Selain daripada itu, TMJ berkata baginda turut melihat kemungkinan jurulatih daripada Sepanyol akan mengemudi skuad JDT II pada musim hadapan bagi memastikan falsafah JDT dari pasukan utama sehingga pasukan JDT U12 adalah sama.

Tunku Ismail juga menegaskan, pemain-pemain yang dilepaskan dibenar untuk menyertai pasukan lain secara terus atau akan secara pinjaman bagi meneruskan kesinambungan karier bola sepak mereka.

Untuk skuad JDT, Tunku Ismail juga mengesahkan tiada pemain baharu akan dibawa masuk pada musim Liga Super yang bakal bermula Februari depan, dan akan kembali aktif di pasaran untuk musim 2021.

Komen & Pendapat

Comments are closed.