Berita Hari Ini

UMP Disaran Beri Perhatian Bidang Kecerdasan Buatan – Agong

KUANTAN- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menitahkan supaya Universiti Malaysia Pahang (UMP) memberi perhatian serius terhadap pembangunan bidang kecerdasan buatan.

Seri Paduka bertitah selain bidang kecerdasan buatan, UMP juga diseru untuk bergerak dengan lebih ke hadapan dalam menjayakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), selari dengan fokus terkini pendidikan tinggi negara.

“Saya yakin kerjasama erat antara UMP dengan pihak industri dalam dan luar negara berupaya mengukuhkan lagi peranan universiti ini dalam melahirkan modal insan yang bukan hanya mampu memenuhi keperluan negara, bahkan di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah, yang juga Canselor UMP bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 UMP di kampus Gambang universiti itu di sini hari ini, yang turut dihadiri Naib Canselornya Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Seri Paduka juga menzahirkan pujian kepada pentadbiran UMP terhadap rancangan mereka untuk menubuhkan Yayasan UMP awal tahun hadapan, yang bertujuan mendapatkan dana bagi membantu rakyat kurang berkemampuan memperoleh peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Perkara ini adalah satu usaha murni yang wajar diberikan pujian dan sokongan semua pihak, namun pihak universiti tidak boleh hanya bergantung kepada sumbangan dalam usaha mahu meningkatkan prestasi.

“Sebaliknya, usaha gigih diperlukan untuk mencari rakan strategik baru untuk meningkatkan keupayaan universiti supaya mampu bersaing dengan universiti lain,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga pada titah baginda, menasihatkan graduan UMP untuk menggunakan ilmu dan pengalaman yang diperoleh di universiti untuk memberi manfaat kepada masyarakat, selain mencari peluang mencipta kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

Titah Seri Paduka, graduan menggalas amanah dan tanggungjawab besar di bahu mereka dalam mencorak masa hadapan masyarakat dan negara, selain perlu menjadi warganegara yang sering menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan Malaysia.

Pada titah Diraja itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang baru dilantik sebagai Pro-Canselor UMP bersama-sama Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor.

Untuk rekod, istiadat pemasyhuran Tengku Hassanal selaku Pro-Canselor akan dilakukan pada masa hadapan, memandangkan baginda masih berada di Akademi Tentera Diraja Sandhurst (Royal Military Academy Sandhurst) di United Kingdom.

Majlis konvokesyen kali ini melibatkan 3,782 graduan terdiri daripada 2,633 graduan program pra pengajian, 77 ijazah kedoktoran, 158 ijazah sarjana dan 914 program pengajian eksekutif dan profesional di bawah pusat pengajian sepanjang hayat, UMP Advanced Education.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");