Berita Hari Ini

Waktu Subuh Lewat 8 Minit Babitkan Seluruh Negara – JAKIM

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-116 memutuskan bahawa perubahan waktu solat subuh yang perlu dilewatkan sebanyak lapan minit adalah membabitkan seluruh negara.

Mesyuarat yang bersidang pada Rabu dan Khamis lalu bersetuju bahawa permulaan waktu solat subuh di negara ini adalah menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk yang menyebabkan kepada perubahan waktu solat berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, menegaskan keputusan adalah berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun oleh jabatan itu bersama pakar dari Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi Mara dalam menentukan hukum nilai altitud matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat subuh di negara ini.

Katanya, sebelum penentuan hukum oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI, hasil penyelidikan itu turut dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa (JPPF) pada 17 September lalu dan Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan pada 17-19 September.

Ia membabitkan panel pakar falak, pensyarah universiti, pegawai falak seluruh negara dan persatuan serta individu dalam bidang falak.

“Dari segi prosedur dan proses di peringkat Persekutuan, JAKIM sebagai urusetia MKI dan Jawatankuasa Muzakarah MKI akan mengangkat semua keputusan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk makluman Mesyuarat MKI yang dipengerusikan Perdana Menteri yang ahlinya adalah Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Seterusnya ia akan disembah maklum untuk perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan peruntukan bahawa hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, walaupun penyelarasan dalam pelaksanaan keputusan itu perlu dibuat di seluruh negara, kata putus adalah tertakluk kepada negeri-negeri.

Kenyataan media dimuatnaik di laman Facebook JAKIM.
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");