Perak Hari Ini

10 Tahun Menetap Di Rumah Pangsa Sungai Pari, Kini Ibu Tunggal Dapat Sinar Harapan Baru

IPOH: Permohonan selama lima bulan oleh seorang ibu tunggal kepada empat orang anak berusia antara 11 ke 16 tahun terjawab apabila dia kini dapat mendiami sebuah rumah baharu di Rumah Pangsa Taman Harmoni dekat Buntong, di sini.

P.Minache, 45, bersama anak-anak perempuannya sebelum ini tinggal Rumah Pangsa Sungai Pari selama 10 tahun manakala disebabkan kurang berkemampuan, anak lelakinya pula terpaksa tinggal berasingan di rumah rakan anaknya.

Keadaan bertambah parah apabila dia yang sebelum ini menyara anak-anaknya sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di sini terpaksa berhenti kerja apabila dia disahkan menghidap asma dan sakit tulang pada awal tahun ini.

“Kehidupan kami agak susah. Namun dari segi kos persekolahan pihak sekolah anak-anak saya ada memberikan bantuan. Mereka pun sangat baik dengan kami,” katanya.

Dia berkata demikian ketika acara penyerahan kunci rumah baharu di Rumah Pangsa Taman Harmoni, di sini, yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam.

Mengulas lanjut, Sivasubramaniam berkata pada April pihaknya telah mengadakan lawatan ke rumah Minache bagi melihat sendiri kesusahan keluarga tersebut di Rumah Pangsa Sungai Pari.

Katanya, walaupun kawasan di situ sudah dikosongkan namun Minache terpaksa menetap di situ walaupun tanpa ada lagi saluran terus sumber elektrik dan bekalan air bersih.

Ujarnya atas dasar keprihatinan, beliau telah menghubungi Datuk Bandar Ipoh bagi membantu keluarga tersebut mendapatkan kediaman yang baharu.

“Saya akan bantu keluarga ini dari segi kos peralatan dapur baharu dan keperluan asas rumah yang lain. Wang pendahuluan dan bayaran sewa rumah sebanyak RM126 telah ditanggung oleh pihak pejabat saya.

“Kita akan melihat keperluan yang mana berkemungkinan kita akan menanggung sewaan selama setahun. Bantuan susulan berkemungkinan juga akan diberikan kepada keluarga ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain itu, Sivasubramaniam berkata selain kelengkapan persekolahan pihaknya juga akan memberi bantuan seperti Kotak Harapan setiap bulan kepada keluarga Minache.

Sementara itu, Minache yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan itu mengucapkan terima kasih kepada pihak ADUN Buntong yang memberi sinar harapan baharu kepada keluarganya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak ADUN Buntong untuk bantuan ini. Memang hasrat saya untuk memberikan rumah selesa buat anak-anak supaya kami semua dapat tinggal bersama.

“Kami bercadang untuk berpindah dalam masa terdekat selepas anak-anak membantu mencuci rumah baharu kami ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");