Berita Hari Ini

1MDB: Tuduhan Jenayah Terhadap Goldman Sachs Diteruskan

PUTRAJAYA – Malaysia akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs Group Inc berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) walaupun syarikat itu dilaporkan akan membuat bayaran kepada Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat bagi menyelesaikan kes itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau telah menghubungi Jabatan Peguam Negara yang memaklumkan kes itu dijangka dibicarakan pada pertengahan tahun hadapan.

“Jadi kes ini masih berjalan dan kerajaan Malaysia masih menuntut bayaran sehingga US$7.5 bilion. Ini sebagai balasan ke atas kerugian yang kita (negara) alami berikutan skandal 1MDB hanya daripada Goldman Sachs sahaja.

“Ini yang kita tuntut dan kita akan teruskan dengan tindakan di mahkamah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini, lapor Bernama.

Menurut laporan media, Goldman Sachs akan membayar sejumlah US$1.5 bilion hingga US$2 bilion kepada Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat sebagai penyelesaian kes berkenaan.

Goldman Sachs menghadapi tuduhan jenayah berhubung terbitan bon bernilai US$6.5 bilion berkaitan 1MDB.

Pada 19 Dis 2018, pihak pendakwaan memfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs dan didakwa telah meninggalkan fakta-fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013 di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Pertuduhan di bawah subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Dis tahun lepas, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

DoJ menganggarkan sekitar US$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");