Panasnya Hari Ini

37 Bayaran Cek Berjumlah RM1.3 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melakukan 37 bayaran menggunakan cek berjumlah RM1.3 juta sebagai pembayaran penggunaan empat kad kredit dimilikinya.

Menurut BH Online, rekod penyata pembayaran kad kredit menunjukkan terdapat beberapa siri perbelanjaan runcit bagi dalam dan luar negara termasuk di London; Itali; Ukraine; Australia; Hong Kong; China; Indonesia dan China antara Januari 2014 hingga Januari 2016 bagi kad Visa dan Master miliknya.

Rekod itu dibentangkan Naib Presiden Ambank, Yeoh Eng Leong, pada hari kelima perbicaraan kes Ahmad Zahid membabitkan 47 tuduhan termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Eng Leong, 58, berkata Ahmad Zahid dinamakan sebagai pemegang kad utama dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis turut dinamakan sebagai pemegang kedua.

Saksi ke-10 pendakwaan itu berkata, jumlah pembayaran sebanyak RM1,296,715.98 dicatatkan bagi empat kad kredit dimiliki Ahmad Zahid dan isterinya.

“Semua empat kad mempunyai gabungan had kredit berjumlah RM250,000. Bagi kad kredit Visa dan kad Master ia adalah atas nama Ahmad Zahid yang dikeluarkan pada 30 September 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi dalam prosiding itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Saksi itu berkata, rekod penyata kad kredit Visa berakhir dengan 0419 bertarikh 28 April 2014, milik Hamidah digunakan dalam beberapa transaksi runcit di Hong Kong, Malaysia dan Australia berjumlah RM130,359.83.

“Ini termasuk RM26,893.33 yang dibelanjakan di Burberry Asia Ltd di Kowloon, Hongkong; RM9,500 dibelanjakan di Louis Vuitton di Starhill, Kuala Lumpur; RM7,919.35 di Swarovski di Melbourne, Australia; dan RM18,568.66 di Louis Vuitton yang lain di Southbank, Australia.

“Kad sama turut digunakan untuk pembelian di New York, Amerika Syarikat; berjumlah RM215,542.69 seperti dalam rekod penyata kad kredit bertarikh 28 Jun 2014.

“Selain itu, terdapat juga pembelian berjumlah RM130,313.20 di Stefano Ricci America; RM17,252.34 di Burberry 400 dan RM45,095.60 di Brioni,” katanya.

Dalam prosiding sama, ketika membaca pernyataan saksi, Eng Leong berkata, berdasarkan rekod pembayaran untuk Januari 2014 hingga Januari 2016, Ahmad Zahid membuat 37 pembayaran secara keseluruhan.

“Daripada 37 pembayaran, dua cek dikembalikan dan ia dilakukan menerusi cek tempatan. Jumlah pembayaran yang diterima dari Januari hingga Disember 2014 sebanyak RM534,412.52.

“Selain itu, bagi Januari hingga Disember 2015 adalah RM708,134.47 dan Januari 2016 sebanyak RM54,168.99,” katanya.

Terdahulu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, mengenai individu yang menjelaskan bayaran kesemua kad itu, saksi itu memberitahu pemegang kad utama iaitu Ahmad Zahid

Raja Rozela: Siapa yang membuat pembayaran bagi kad kredit yang mempunyai nama kedua?

Eng Leong: Lazimnya, penama utama kepada kad kredit itu yang juga Ahmad Zahid.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perbicaraan bersambung esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");