Perak Hari Ini

60 Tahun Penduduk Guna Jalan Tidak Berturap Untuk Ke Batu Gajah

BATU GAJAH: Lebih 1,000 penduduk Kampung Changkat Tualang, Kampung Redang Sawa, Kampung Kota Bharu dan Kampung Changkat Legong dekat sini, masih menantikan pembinaan jalan baharu berturap yang menghubungkan kampung-kampung terbabit ke jalan utama di pekan Batu Gajah.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Changkat Tualang/ Redang Sawa, Takyuddin Sulaiman berkata keadaan jalan yang berpasir itu telah menyebabkan kesukaran penduduk untuk ke pekan bagi urusan harian.

Malah katanya mereka terpaksa berurusan ke pekan Gopeng yang sejauh kira-kira 15 kilometer (km) atau ke pekan Kampar sejauh 15 km.

Jelasnya jika menggunakan laluan berpasir itu, jarak antara kampung-kampung terbabit dengan pekan Batu Gajah hanya sejauh 8 km dan memakan masa sekitar 9 minit sekiranya ia berturap.

 

Tambah Takyuddin, dengan keberadaan sebuah kilang simen di Kota Bharu, jalan tersebut semakin kerap dilalui pelbagai jenis kenderaan seperti kereta, motosikal dan lori yang kesemuanya mencecah lebih 200 buah.

“Jika waktu panas, jalan itu akan berdebu dan jika musim cuaca hujan, jalan itu akan berlubang serta berlopak.

 

“Setahu saya, perkara ini sudah berlarutan 60 tahun lebih. Setiap kali ada perjumpaan oleh pihak berwajib dengan penduduk setempat, inilah perkara utama yang dibangkitkan.

“Disebabkan keadaan jalan tidak berturap, ada yang terpaksa berhabis ratusan ringgit untuk penyelenggaraan kenderaan. Malah hasil pertanian dan produk-produk tempatan agak sukar di bawa keluar,” katanya ketika ditemui PerakToday, di sini, hari ini.

Katanya lagi jalan itu juga merupakan keperluan bagi pelajar yang bersekolah di Batu Gajah serta penduduk yang mahu mendapatkan perkhidmatan hospital di situ.

Sementara itu, menurut Pengerusi MPKK Kota Bharu, Kamarudin Abdullah, pihak Klinik Kesihatan Kota Bharu juga ada kalanya menyuarakan masalah jalan tersebut kepada beliau.

Ujarnya, ada ketika ambulans dari klinik tersebut terpaksa meredah jalan tidak berturap itu untuk membawa pesakit ke Hospital Batu Gajah.

Dalam pada itu katanya, isu jalan tersebut juga sering dibangkitkan pada tiap kali tiba musim Pilihanraya Umum.

“Isu ini setahu saya sudah lama dibangkitkan. Disebutkan pada kami semuanya sudah lulus namun sampai sekarang seolah-olah tiada hasilnya. Lagipun ia hanya sekadar ‘cakap mulut’ dan tiada hitam putih,” katanya.

Ia juga diakui penduduk tempatan, Zulkifli Bahri, 44, dan Shahril Azazi, 39, yang mana mereka mengharapkan agar pihak pentadbiran kerajaan negeri yang baharu kini dapat membantu menyelesaikan kemelut mereka itu.

Mengulas lanjut, Takyuddin berkata antara alasan kelewatan penyelesaian masalah yang diberikan kepadanya ialah jalan tersebut melibatkan dua Pihak Berkuasa Tempatan yang berasingan iaitu Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah.

“Saya berharap agar kerajaan negeri dapat mengambil perhatian keluhan kami ini demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");