Berita Hari Ini

62 Ahli Parlimen Pembangkang Belum Isytihar Harta

KUALA LUMPUR: Seramai 62 Ahli Parlimen pembangkang termasuk Bebas masih tidak mengisytiharkan harta biarpun hari ini adalah hari terakhir untuk mereka berbuat demikian.

Ini bermakna mereka berdepan tindakan termasuk digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat atau didenda RM1,000 kerana menghina Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, menjelaskan Ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan harta adalah 36 daripada UMNO, MCA (1), MIC (1), PAS (18), GPS (3), STAR (1) dan dua Bebas.

“Setakat jam 5 petang tadi, seramai 160 Ahli Parlimen sudah mengisytiharkan harta mereka iaitu semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) termasuk dua wakil rakyat UMNO, MCA (1), GPS (15), PSB (1), PBRS (1) dan PBS (1).

“Seramai 62 Ahli Parlimen belum mengisytiharkan harta mereka seperti yang diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta mereka serta isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun itu perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh asal usul terbabit dan salinannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Vui Keong berkata, mana-mana Ahli Parlimen yang memohon supaya diberikan tempoh untuk membuat pengisytiharan harta itu, boleh mengemukakan rayuan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

“Terpulang kepada Speaker sama ada membenarkan tempoh itu dilanjutkan atau sebaliknya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");