Panasnya Hari Ini

Ada Pemimpin Kanan PKR Tak Hadir Mesyuarat Putuskan Anwar Calon PM8 – Saifuddin

AYER KEROH: Beberapa pemimpin utama PKR tidak menghadir mesyuarat bagi memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kelapan, ketika ia dibincangkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyebut beberapa nama pemimpin parti yang hadir ke mesyuarat itu tetapi tidak menyebut nama mereka yang tidak hadir bagi memutuskan perkara berkenaan.

“Sebelum PRU-14, MPP (Majlis Pimpinan Pusat) bermesyuarat, kita akan angkat Anwar sebagai calon Perdana Menteri jika rakyat beri mandat. Kita bermesyuarat dalam MPP dan bersetuju.

“Yang sentiasa teman Kak Wan (Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) sebagai Presiden ketika itu, ialah Tian Chua, saya, Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Datuk Dr A Xavier Jayakumar.

“Kami hadir dalam mesyuarat PH, dalam perundingan kerusi, merangka manifesto dan dalam mengangkat cadangan parti iaitu Anwar calon Perdana Menteri (selepas Tun Dr Mahathir).

“Nama yang saya tak sebut sebab dia tak pernah hadir walau satu mesyuarat sekali pun,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution turut menzahirkan rasa hairan bagaimana segelintir pemimpin PKR sukar untuk mengungkapkan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan, sedangkan ia diputuskan secara bersama serta dipersetujui semua pemimpin PH.

“Kita angkat (dalam mesyuarat PH), DAP kata, kita selamanya dengan Anwar. Tanya AMANAH, Abang Mat (Mohamad Sabu) kata selagi dia Presiden, AMANAH kekal sokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Kita bawa kepada BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), mereka kata kami tidak ada keraguan sama sekali kerana Anwar dalam penjara ketika itu, maka bersetuju Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Timbalannya dan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan bila sampai masa dan ketikanya.

“Itu tidak pernah berubah. Sebab itu, kalau ada yang sedikit terasa hati sekali pun, takkanlah ada dalam kalangan pimpinan parti yang rasa canggung nak ungkap dan lafazkan perkataan Anwar bakal Perdana Menteri kelapan,” katanya.

Saifuddin Nasution turut menepis dakwaan kononnya Anwar terlalu mengejar jawatan Perdana Menteri, memandangkan segala perkara yang dizahirkan dalam ucapannya sebelum ini, menjurus kepada kerisauan dan isu dihadapi rakyat kebanyakan.

“Anwar bukan obses (taksub) nak jadi Perdana Menteri. Pada saya, Anwar obses dengan agenda reformasi, pertumbuhan ekonomi, pada orang miskin dan yang memerlukan serta pada tanggungjawab memenuhi tuntutan manifesto.

“Kita dengar ucapannya semalam, cerita kemiskinan, pengangguran, kesenjangan sosial, derita rakyat, nelayan, petani, penjaja kecil. Anwar sangat obses dengan perjuangan rakyat, bukannya ketagih dan lahap untuk jadi Perdana Menteri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");