KUALA KANGSAR: Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menyifatkan terdapat segelintir ahli parti yang berada dalam keadaan kepura-puraan.
Tanpa menyebut nama individu yang dimaksudkan secara jelas, beliau berkata ada segelintir ahli yang menyertai PKR dengan mengutamakan idealisme peribadi berbanding idealisme parti.
“Kadang-kala ada yang masuk parti ini bukan mahu angkat idelisme parti dan bukan mahu membantu kesusahan rakyat. Sepatutnya kesusahan rakyat adalah kesusahan kita juga.
“Itu yang saya sebutkan dengan kepura-puraan. Saya rasa rakyat boleh menilai siapa yang saya maksudkan itu.
“Dalam perjuangan ini akan ada ‘Abu Bakar’ dan ‘Abu Jahal’. Terserah pada ahli untuk berada di sisi siapa,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Keadilan Perak di Dewan Jubli Perak di sini, malam tadi.
Terdahulu dalam ucapannya beliau ada membangkitkan perkara itu dengan menyebut ada kalangan ahli khususnya yang mempunyai jawatan tertentu sudah melupai semangat reformasi dalam parti.
Ujarnya terdapat pihak yang mula menyimpang daripada perjuangan asal parti serta mempunyai agenda perbadi yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak ikhlas.
Pemberita turut meminta beliau mengulas ucapan beliau yang menyebut bahawa adakalanya beliau mempunyai perasaan seolah-olah ‘menumpang di rumah sendiri’.
Katanya pimpinan sama ada di peringkat negeri dan pusat harus mempunyai koordinasi dan komunikasi yang baik kepada ahli-ahli di peringkat bawah.
“PKR telah lama berjuang di Perak. Tetapi kadang-kadang ada rasa macam menumpang di rumah sendiri.
“Namun pada saya, pimpin di peringkat pusat dan negeri harus mempunyai koordinasi dan komunikasi yang baik. Sekarang ini ia agak kurang. Bukan sahaja PKR malah saya berpandangan rakan-rakan komponen parti lain juga merasakan yang sama,” katanya.
Sementara itu, Farhash turut menegaskan bahawa PKR tidak mempunyai pergolakan yang besar seperti yang didakwa.
Katanya secara keseluruhannya kesemua ahli bersatu-padu bersama parti dan menyokong kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya kehadiran lebih 4,000 ahli perwakilan Perak di konvensyen tersebut jelas membuktikan bahawa PKR sentiasa utuh dan tidak seperti yang digambarkan sesetegah pihak.