Panasnya Hari Ini

Ahli AMK Terlibat Insiden Kekecohan Akan Dipecat – Anwar

MELAKA – Anggota parti yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan sewaktu persidangan Kongres Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 akan berdepan dengan tindakan dipecat, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya perlakuan yang disifatkan biadap itu tidak boleh boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan.

“Saya telah menerima laporan mengenai insiden kekecohan yang berlaku di Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019. Justeru, saya telah meminta Lembaga Disiplin Parti untuk mengambil tindakan memecat pelaku yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Anwar turut memohon kerjasama polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata laporan mengenai isu kekecohan pada Kongres AMK 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Katanya satu mesyuarat post mortem mengenai kongres itu akan dibuat bagi mengenal pasti isu yang dihadapi pada penganjuran kongres AMK dan Wanita termasuk fasiliti kepada media, dan laporan hasil mesyuarat itu akan dibawa ke MPP PKR bagi memastikan ia tidak berulang.

“Jika kita lihat pada kongres AMK, dewan itu dilihat kecil untuk menampung perwakilan AMK yang hadir agak ramai, tetapi bagi Wanita dewan disediakan pula dilihat agak besar. Jadi kita lihat ada isu seperti cerita ‘Goldilocks’ dalam penganjuran ini.

“Apapun kita akan bincangkan perkara ini dan akan tambah baik bagi memberi fasiliti paling sesuai selepas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama mengenai insiden kecil kekecohan ekoran sekumpulan anggota AMK tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan kerana telah penuh.

Beliau berkata AMK akan menyerahkan kepada lembaga disiplin parti itu untuk tindakan sekiranya didapati berlaku kekecohan atau perbuatan sabotaj, dan kekecohan melibatkan fizikal akan diserah kepada polis untuk diambil tindakan.

Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata setiap anggota AMK hendaklah menjaga nama baik parti PKR dan menjaga adab serta tata susila mereka, selain mengelakkan isu peribadi yang menggugat kesejahteraan sesama anggota parti.

“Elok jangan buat provokasi dan timbulkan kekacauan. Wakil MPP (Majlis Pimpinan Tertinggi) kita juga tidak mahu apa-apa ruang provokasi. Kita kesal dengan kekecohan berlaku kerana ia memburukkan nama AMK dan PKR.

“Kita akan teliti tindakan, kita mahu perjalanan sempurna sepanjang perbahasan. Nak selesaikan kongres dengan baik, segala kekurangan kita pikul tanggungjawab tetapi masa sama bebanan secara kolektif untuk pastikan perjalanan kongres sempurna,” katanya pada sidang media.

Kongres tahunan AMK hari ini dicemari dengan insiden kecil kekecohan yang pertama ekoran sekumpulan anggota AMK tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan kerana telah penuh manakala kali kedua semasa kongres berhenti rehat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");