Berita Hari Ini

Akhbar Suara Keadilan Henti Penerbitan

Surat khabar yang menjadi lidah rasmi PKR, Suara Keadilan menamatkan operasinya bulan ini.

Malaysiakini difahamkan penerbitan terakhir akhbar itu ialah pada 18 Disember lalu bagi edisi ke-432.

Tidak jelas nasib lapan kakitangan yang masih bertugas, namun mereka dikatakan akan diserap untuk penerbitan portal dalam talian.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp media berkata, Suara Keadilan akan berhijrah ke laman berita dalam talian.

Katanya, perkara itu telah diumumkan pada 7 Disember lalu ketika Kongres Nasional parti berkenaan.

“Seperti yang telah diumum sewaktu Kongres Nasional pada 7hb Disember selepas ucapan dasar Presiden, Suara Keadilan akan berhijrah dari akhbar bercetak ke laman berita dalam talian (digital news portal).

“Maklumat lanjut berkenaan operasi Suara Keadilan online akan diumum parti dalam masa terdekat,” katanya.

Suara Keadilan merupakan sebuah akhbar politik berbahasa Melayu milik PKR yang dihadkan jualan kepada ahli parti itu saja.

Akhbar itu mula diterbitkan pada Jun 2005 namun beroperasi tanpa permit.

Pengurusan surat khabar itu kemudian memperoleh permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984) pada 2008 sehingga 2 Julai 2010.

Bagaimanapun, KDN tidak memperbaharui permit mereka yang membawa kepada penerbitan edisi tidak berkala dengan tajuk berbeza antaranya Keadilan pada 12 Julai 2010, Obor Keadilan (19 Julai 2010) dan Sinar Keadilan (26 Julai 2010).

Setelah itu, ia kembali menggunakan nama Suara Keadilan dan mendapat sambutan pembaca dari kalangan anggota PKR, dengan kekerapan seminggu sekali.

Ketika di bawah pentadbiran BN, pejabat Suara Keadilan beberapa kali diserbu oleh pihak polis dan akhbar mereka dirampas KDN.

Industri media, khususnya akhbar bercetak dilihat semakin malap kebelakangan ini dan bahangnya turut dirasai Suara Keadilan apabila ia mengurangkan kekerapan penerbitan kepada dwi-bulanan bermula tahun ini.

Surat khabar tertua Utusan Malaysia di bawah Utusan Melayu Berhad (Utusan) misalnya menutup operasinya secara rasmi pada 9 Oktober lalu selepas gagal mencari penyelesaian terhadap kemelut hutang dihadapinya.

Ia kemudiannya disusuli pengecilan operasi satu lagi syarikat gergasi media iaitu Media Prima yang menyaksikan 543 kakitangan kumpulan New Straits Times Press (NSTP) terjejas.

Seramai 543 kakitangan membabitkan Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times itu bakal ditamatkan perkhidmatan pada Mac tahun depan, berikutan langkah pengurangan pekerja yang sedang dibuat Media Prima Bhd.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");