Berita Hari Ini

Amanah Akan Bantu Kempen Untuk Pastikan Kemenangan Warisan

Jentera Parti Amanah Negara (Amanah) akan turun padang membantu kempen calon Parti Warisan Sabah (Warisan), bagi memastikan kemenangan Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Jan depan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, jentera parti itu akan digerakkan bermula pada hari penamaan calon dan akan bersama-sama jentera parti komponen PH yang lain.

“Saya sendiri akan turun padang pada hari penamaan calon sebagai tanda sokongan terhadap calon Warisan yang bertanding pada pilihan raya itu.

“…dan saya juga akan menggerakkan jentera Amanah di kawasan saya iaitu Parlimen Kota Raja untuk turut terlibat sepanjang kempen pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar yang kurang berkemampuan di kawasan Kota Raja di Klang, hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Kota Raja berkata, dengan kerja keras daripada semua jentera parti komponen PH, beliau yakin parti Warisan akan dapat memenangi kerusi parlimen itu yang mana sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

Pada 16 Dis lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan hadapan, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan, manakala pengundian awal akan dilaksanakan pada 14 Jan.

PRK Parlimen Kimanis diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen itu setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya akan melancarkan pasar peduli rakyat sebagai inisiatif membantu masyarakat di kawasan parlimen itu mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga yang murah.

“Saya telah merancang untuk membuka pasar ini di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kota Raja, sebulan sekali kemungkinan bermula akhir Januari atau awal Februari depan.

Pasar ini akan menjual barangan keperluan asas termasuk beras, minyak, susu, bawang, ayam dan telur dengan harga yang lebih murah berbanding kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata dengan langkah itu ia akan membantu meringankan beban kos hidup masyarakat setempat yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan miskin bandar.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");