Sukan Hari Ini

Azizulhasni Cedera Dalam Saingan Di Brisbane

KUALA LUMPUR: Persiapan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo tergendala apabila sandaran emas negara itu mengalami kecederaan selepas terbabit dalam insiden kemalangan pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia hari ini.

Pada pusingan pertama acara keirin di Velodrom Anna Meares, Azizulhasni cuba memotong pelumba Poland, Krzysztof Maksel berbaki satu pusingan namun pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata cuba ‘memancungnya’ menyebabkan dia terhimpit Maksel dan beberapa pelumba lain turut terjatuh.

Azizulhasni dibawa ke hospital selepas kemalangan dalam acara keirin pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, hari ini.

Kawabata kemudiannya dibatalkan penyertaannya kerana menyebabkan insiden itu.

“Pancungan itu kalau diikutkan seperti datang dengan niat kurang baik namun sebagai seorang atlet profesional berjiwa besar, saya tetap melihatnya dengan positif.

“Sudah lumrah dalam dunia lumba basikal trek terutamanya dalam acara keirin. Jatuh bangun itu adalah adat bertanding dan tidak perlu mengambil perkara seperti ini secara peribadi.

“Semua orang mahu menang dan disebabkan itu kadang-kadang benda tidak diingini berlaku,” kata Azizulhasni di laman Facebook dan Instagram miliknya ketika menunggu laporan doktor di Hospital Princess Alexandra.

“Saya terseret jauh, mata di pejam, terasa kulit badan bergeseran dengan permukaan kayu, panas, pedih dan sakit, situasi amat huru hara, terdengar juga jeritan dari pelumba lain. Dalam hati saya hanya mampu menyebut nama Allah dan berdoa supaya tidak ada kayu mencucuk ke dalam tisu badan saya seperti kejadian pada 2011 lalu.

Azizulhasni menjalani rawatan selepas kemalangan dalam acara keirin pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, hari ini.

“Apabila seretan sudah berhenti, saya mengerang kesakitan, tidak dapat bernafas hasil dari hentakan jatuh dan juga dilanggar oleh pelumba dari belakang saya pada kelajuan sekurang-kurangnya 70km/h.

“Saya dah macam ayam kena sembelih. Ramai orang mengelilingi saya, saya tidak dapat membuka mata, tapi terdengar suara jurulatih John Beasley, beliau suruh saya baring, bertenang dan cuba bernafas,” katanya.

Azizulhasni berkata beliau agak kecewa apabila tidak dapat menaiki podium memandangkan isteri dan anak-anaknya turut hadir dari Melbourne untuk memberi sokongan.

“Kepada penyokong saya khusus rakyat Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakang saya, seribu kemaafan kerana tidak dapat meneruskan perlumbaan dan tidak dapat mengulangi kejayaan seperti di New Zealand (emas keirin) tempoh hari.

“Saya ingin anda semua tahu yang saya sentiasa bersedia berkorban jiwa dan raga saya demi negara tercinta dan saya berharap anda juga sama seperti saya. Ini hanya pengorbanan kecil dari saya dan bayangkan jika setiap dari kita sama-sama melakukan pengorbanan untuk negara, sudah tentu akan memberikan impak yang besar,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");