Panasnya Hari Ini

Azmin Hadir Mesyuarat Biro Politik PKR Buat Kali Pertama

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini hadir ke Mesyuarat Biro Politik PKR buat kali pertama selepas menang pada pemilihan parti itu tahun lalu.

Menurut laporan BH Online, beliau hadir pada mesyuarat yang diadakan di bangunan Parlimen kira-kira jam 6.15 petang, bersama beberapa ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, antaranya Zuraida Kamaruddin, R Sivarasa, Tian Chua, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Amirudin Shari.

Azmin memaklumkan, kehadiran bersama ‘pasukannya’ itu adalah bagi berbincang dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kedudukan parti dan perjalanan Kongres Nasional PKR yang akan bermula esok.

“Saya dan ahli Majlis Pimpinan Pusat yang dipilih dalam kongres parti pada tahun lalu akan bertemu dengan Presiden PKR sekarang.

”Kami akan membincangkan tentang kedudukan parti dan persiapan kongres yang akan bermula malam esok hingga Ahad dan beberapa perkara penting,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut menegaskan akan hadir ke kongres parti itu, namun tidak menjelaskan ketika ditanya sama ada beliau akan hadir kongres di Melaka atau di Kuala Lumpur.

“Saya akan berikan kenyataan rasmi setelah saya dan rakan-rakan yang dipilih dalam kongres bertemu dengan Presiden,” katanya.

Terdahulu, difahamkan Mohamed Azmin dan pasukannya mengadakan mesyuarat lebih awal, sebelum hadir ke mesyuarat Biro Politik PKR.

Krisis kepimpinan PKR kini berada di kemuncaknya apabila kumpulan yang dikaitkan dengan Azmin merancang mengadakan satu himpunan berasingan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.

Ia susulan perpecahan dalam kalangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), apabila kumpulan diketuai Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, mahu Azmin merasmikan sayap itu pada kongres terbabit seperti mana tradisi parti.

Satu lagi kumpulan diketuai Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula bertegas bahawa perasminya ialah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala Azmin merasmikan kongres Wanita PKR.

Beberapa individu dikatakan menjadi wakil bagi mendamaikan hubungan antara Azmin dan Anwar menjelang kongres itu, namun sebuah portal hari ini melaporkan rundingan damai itu gagal membuahkan hasil.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");