TAWAU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah meminta kerjasama semua pihak termasuk syarikat penerbangan, agensi pelancongan serta pihak Kedutaan China agar memberi peringatan kepada pelawat dari negara itu supaya mematuhi peraturan imigresen di negara ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata perkara itu antara lain bagi menangani isu pelancong China bolos dari pemeriksaan dokumen di kaunter imigresen.
“Jabatan Imigresen Negeri Sabah bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Lembaga Pelancongan Sabah juga mengambil langkah proaktif dengan meletakkan peringatan dalam Bahasa Mandarin di pelbagai sudut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)
Di samping, (di KKIA) membuat pengumuman siaraya dalam Bahasa Mandarin untuk mencegah pembolosan sedemikian dari terus berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini, lapor Bernama.
Semalam, Mahkamah Sesyen Tawau menjatuhkan hukuman penjara 18 hari terhadap empat wanita warga China selepas mengaku salah kerana gagal melapor diri ke kaunter imigresen setelah memasuki negara ini.
Hukuman itu berkuatkuasa daripada tarikh kesemua wanita itu ditahan pada 10 Dis lepas.
Menurut Muhamad Sade, kesemua wanita itu memasuki Sabah dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH395 dari Shanghai, China ke Kota Kinabalu pada 4 Dis lepas, pukul 6.15 pagi.
Katanya, pada hari sama, kesemua wanita itu kemudian berlepas dengan penerbangan MH2121 pada 7.40 pagi dan tiba di Tawau pada 8.25 pagi.
Namun, menurutnya wanita berkenaan gagal melaporkan diri di mana-mana kaunter imigresen khususnya kaunter transit yang disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk mendapatkan ‘Cop Masuk Imigresen’ .
“Kesemua wanita ini telah ditahan pada 10 Disember 2019 semasa pemeriksaan dokumen pasport mereka ketika penerbangan balik ke Shanghai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau akibat pembolosan semasa tiba ke Negeri Sabah tempoh hari,” katanya lagi.
Berikutan itu, katanya mereka dituduh di bawah kesalahan Seksyen 24(2), Akta Imigresen 1959/63 kerana enggan atau abai hadir di hadapan pegawai imigresen sebagaimana dikehendaki oleh peraturan imigresen negara ini dengan penalti yang diperuntukkan hendaklah apabila disabitkan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Muhamad Sade berkata pihaknya komited memeriksa semua dokumen warga asing yang keluar dan masuk secara cermat dan teliti bagi mengelak sebarang pembolosan di pintu masuk Sabah.