Panasnya Hari Ini

Bicara Kes Rasuah Azeez Rahim Dan Abangnya Bermula 16 Mac 2020

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya Datuk Abdul Latif akan bermula pada 16 Mac tahun depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, manakala abangnya menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan 13 hari bermula 16 hingga 20 Mac ; 1 hingga 3 April ; 18 hingga 20 Mei serta 29 dan 30 Jun 2020 untuk perbicaraan, semasa sebutan kes itu hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya 30 saksi pendakwaan.

“Pihak pendakwaan juga tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi.

“Bagaimanapun, pada 6 Dis lepas pihak pendakwaan telah menerima salinan notis rayuan daripada pihak peguam yang telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi itu,” katanya.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abdul Azeez, 52, mengesahkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis rayuan itu pada 6 Dis lepas.

Dalam prosiding itu, peguam Fudhail Zulaini mewakili Abdul Latif, 61.

Pada 28 Nov lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes Abdul Azeez dan Abdul Latiff dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 16 Jan lalu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta, berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta.

Bagi pertuduhan rasuah, dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi kes pengubahan wang haram, dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Abdul Latif pula menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez, yang telah secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah, membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad, daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Projek melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) yang bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");