Berita Hari Ini

Cuepacs: Tiada Isu Daulah Terpendam Dalam Kalangan Penjawat Awam

Tidak timbul isu daulah terpendam yang berlaku di kalangan penjawat awam terhadap kerajaan selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya sejak Mei tahun lalu, kata Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs).

Menurut setiausaha agungnya, Adnan Mat, apa yang berlaku adalah masalah komunikasi antara penjawat awam yang baru dan lama.

“Isu daulah terpendam yang kita dengar sejak Mei 2018 tidak berlaku dalam kalangan penjawat awam sebab penjawat awam terikat dengan skop tugas sedia ada.

“Isu sabotaj tidak wujud. Yang ada cuma masalah komunikasi antara orang baru dan lama dalam kerajaan. Orang baru ini ingin buat perubahan, tetapi tidak tetapkan dalam dokumen (tiada dasar baru), hanya bercakap sahaja.

“Akhirnya dokumen (dasar) yang sedia ada (zaman kerajaan dulu) itulah yang dilaksanakan oleh pegawai kerana kalau pegawai langgar dasar sedia ada dia juga salah,” katanya lapor Free Malaysia Today.

Daulah terpendam ialah istilah yang digunakan merujuk kepada gerakan individu atau kumpulan yang beroperasi secara rahsia untuk mensabotaj kerajaan.

Isu gangguan daulah terpendam muncul tidak lama selepas PH berjaya menawan Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu.

Kesetiaan kepada BN dinyatakan sebagai antara punca berlaku kegiatan sabotaj dalam kalangan kakitangan awam.

Tidak lama selepas membentuk kerajaan PH melakukan beberapa perubahan jawatan membabitkan pegawai kanan. Bagaimanapun, masalah itu dipercayai belum dapat ditangani sepenuhnya.

Mengulas lanjut perkara itu, Adnan berkata isu komunikasi itu turut menyebabkan pegawai menjadi mangsa sehingga terdapat kalangan mereka dibekukan tugas.

“Pegawai terikat dengan skop dan fungsi tugas yang ditetapkan.

“Jadi yang jadi mangsa ialah pegawai, yang akhirnya ‘disejuk beku’ (tugas). Ini merugikan rakyat dan kerajaan sebab kita bayar gaji pegawai, tetapi mereka ‘direhatkan’,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan mendapatkan maklumat mengenai dakwaan wujudnya daulah terpendam yang sedang cuba mensabotaj pentadbiran kerajaan dalam kalangan penjawat awam.

Beliau turut melahirkan keyakinan sekiranya perkara itu berlaku pentadbiran kerajaan PH mampu menanganinya memetik MKini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");