Berita Hari Ini

Dua Pekerja Restoran Nasi Kandar Buat Laporan Palsu Direman

GEORGE TOWN – Dua pekerja sebuah restoran nasi kandar terkenal di Bukit Jambul, dekat sini yang ditahan semalam kerana membuat laporan polis palsu kononnya mereka disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal dan melarikan wang hasil kutipan restoran itu sebanyak RM122,555, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga India masing-masing berusia 40 serta 52 tahun yang bekerja sebagai juruwang dan juruaudit di restoran nasi kandar itu akan direman sehingga 16 Dis ini.

“Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan dan kami akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin sebelum menyerahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini, lapor Bernama.

Dalam kejadian semalam, kedua-dua lelaki itu membuat laporan palsu kononnya wang kutipan selama tiga hari restoran tempat mereka bekerja sebanyak RM122,555 dirompak dua lelaki menaiki sebuah motosikal di Lebuh Nipah 2, Sungai Nibong, pada 12 tengah hari.

Mereka mendakwa dua lelaki memakai vest tertera tulisan dan cop polis serta mengaku sebagai polis bertindak mengacukan pisau serta meletakkan pistol di bahagian perut pekerja tersebut ketika mereka yang menaiki sebuah motosikal untuk ke sebuah bank untuk memasukkan wang ke dalam akaun milik syarikat.

Namun, hasil soal siasat polis ke atas kedua-dua lelaki itu mendapati keterangan mereka mencurigakan sebelum dua pekerja tersebut mengaku bahawa kejadian itu hanya rekaan semata-mata dan tidak pernah berlaku.

Mereka memaklumkan wang RM122,555 itu sebenarnya berada di dalam sebuah kereta Perodua Kancil yang disembunyikan dan kesemua duit tersebut berjaya ditemui polis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");