Berita Hari Ini

Ekonomi Malaysia Berkembang Tanpa Kenaikan Mendadak Harga Barang, Perkhidmatan – TPM

PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan pada 4.6 peratus setakat September 2019 dan ini dicapai tanpa membabitkan kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan kuasa beli rakyat tidak terjejas dalam usaha mengembangkan ekonomi negara.

Menurutnya, setakat Oktober lepas, kadar inflasi negara berada pada tahap yang rendah dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 1.1 peratus berbanding Oktober 2018.

“Bagi 10 bulan pertama tahun ini, purata inflasi hanyalah pada kadar 0.6 peratus berbanding 10 bulan pertama pada 2018.

“Ini berbanding 1.0 peratus bagi 10 bulan pertama tahun lepas berbanding tempoh yang sama pada 2017,” kata beliau ketika merasmikan Festival LIFT (Literasi Teknologi Kewangan) Putrajaya 2019 di sini, hari ini, lapor Bernama.

Untuk rekod, IHP bagi tempoh Januari-Oktober 2017 mencatat kenaikan 4.0 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

Dr Wan Azizah berkata perkembangan itu turut menjadi satu manifestasi bahawa kerajaan berupaya mengurus dan mentadbir ekonomi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan tahun ini sebagai amat mencabar bagi ekonomi dunia sehinggakan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia, sejak Januari lepas telah beberapa kali membuat unjuran semula pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah.

“Malaysia juga tidak dapat lari daripada tempias kelembapan ekonomi dunia ini, ditambah pula dengan peruntukan yang perlu dibuat bagi membayar faedah ke atas hutang-hutang negara seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan yang berkaitan dengannya,” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah, kerajaan menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan dua bulan lepas, telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini mencecah 4.7 peratus.

Kerajaan juga kekal komited untuk melaksanakan pembaharuan institusi selain membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan dengan mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada tahap A3 atau A-, kata beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");