Berita Hari Ini

‘Elaun Parkir Menteri Lebih RM5,000 Tidak Benar’

Sejak kebelakangan ini timbul persoalan mengenai jumlah emolumen dan elaun yang diterima oleh menteri kabinet dan anggota pentadbiran kerajaan Malaysia, hangat diperkatakan di media sosial.

Ada pihak yang mendakwa menteri-menteri memperoleh elaun tertentu termasuk ‘elaun parkir’ yang dikatakan bernilai lebih RM5,000, sehingga mengundang kritikan dan kecaman hebat dari warganet yang menyifatkan jumlah itu sebagai melampau.

Bagaimanapun jumlah emolumen dan elaun yang diperoleh seorang menteri atau anggota pentadbiran itu bukan suatu maklumat untuk didedahkan umum kerana ia tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beberapa menteri dan timbalan menteri yang dihubungi Bernama menerusi mesej di laman sosial WhatsApp, rata-rata mengesahkan bahawa elaun parkir itu tidak wujud sama sekali.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dalam ciapan akaun Twitter rasminya berkata: “Sepanjang pengetahuan saya, saya tidak ada elaun parking.”

Dalam ciapan berasingan Saifuddin juga menegaskan dakwaan elaun parkir yang tular sejak Rabu itu tidak betul.

Isu mengenai elaun parkir itu bermula Rabu apabila pemilik akaun Twitter @1Obefiend mempersoalkan elaun parkir menteri sebanyak RM5,000, namun ia disanggah Menteri Luar itu yang meminta penjelasan, kerana baginya elaun itu tidak wujud.

Sehari selepas itu, tular pula infografik yang dikongsikan pemilik akaun Twitter @iam_meelo yang didakwa menyenaraikan jumlah elaun-elaun yang dikatakan diterima menteri-menteri Malaysia, antaranya elaun keraian RM10,500, elaun perumahan RM10,800, elaun wakil rakyat RM10,650 dan elaun parkir RM5,700.

Menteri Industri Utama Teresa Kok pula memberi maklum balas: “Kenyataan yang tular baru-baru ini mengenai menteri diberikan peruntukan RM5,000 untuk bayaran parkir adalah tidak benar. Menteri boleh membuat tuntutan bayaran parkir dengan resit di bawah tuntutan pelbagai, tiada bezanya dengan kebanyakan pegawai-pegawai awam lain.

“Perlu diingatkan, apabila menteri-menteri dari Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tugas daripada menteri terdahulu, kita melaksanakan tugas dengan potongan gaji 10 peratus berbanding gaji menteri di bawah pentadbiran sebelum ini. Ia mula dikuatkuasa pada Jun 2018 sehingga sekarang.”

Pada 23 Mei 2018, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemotongan gaji pokok menteri sebanyak 10 peratus bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan PH dalam mendepani masalah kewangan kerajaan.

Mengulas isu sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dalam mesejnya kepada Bernama berkata: “Saya memang tidak pernah dengar tentang elaun parkir… untuk menteri… apapun ada banyak elaun yang kita tidak tuntut seperti .. telefon/tol/elektrik… Kita pun berjimat dalam membeli tiket penerbangan melalui on-line…”

Beberapa anggota pentadbiran yang dihubungi Bernama turut menegaskan bahawa dakwaan berkenaan mengarut.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata :” Ya, memang elaun sedemikian tidak ada. Disahkan.”

Turut menyokong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang memaklumkan: “Disahkan tiada. Mengarut betul!”

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, dalam maklumbalasnya: “Saya tak pernah dengar pun… sejak saya jadi timbalan menteri selama setahun setengah ni saya tak pernah dengar pula elaun parking.“

Seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri ketika diajukan soalan mengenai elaun yang diterima Perdana Menteri khususnya mengenai elaun parkir itu, berkata : “Tiada peruntukan elaun ‘parking’. Gambar yang viral tu palsu.”

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");