Berita Hari Ini

Empat Lelaki Menyamar Polis Ugut Warga Asing Ditahan

KEPALA BATAS, 17 Dis — Empat lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota polis bagi memeras ugut dan meminta ribuan ringgit daripada warga asing tanpa izin ditahan di Taman Mesra, Jalan Bagan Lalang di Butterworth dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sepasukan polis yang sedang menjalankan ronda cegah jenayah menahan sebuah kereta jenis Honda City dinaiki empat lelaki yang berasal dari luar Pulau Pinang itu pada 11.30 malam kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan awal dalam kereta itu, polis menemui sehelai baju vest polis berlambang logo PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan satu unit walkie talkie, siasatan kami mendapati empat lelaki berusia 19 hingga 36 tahun itu terlibat kegiatan jenayah iaitu menyamar sebagai polis sebelum memeras ugut warga asing di sekitar negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya siasatan mendapati modus operandi empat lelaki itu ialah memeras ugut warga asing yang tiada dokumen perjalanan diri dengan meminta wang tunai daripada mangsa jika enggan ditangkap dan mereka menjalankan kegiatan itu pada waktu malam atau awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya empat lelaki itu akan meninjau kawasan yang ramai warga asing sebelum menunggu mereka balik kerja pada waktu malam dan mengekori hingga ke rumah mangsa serta memeras ugut wang.

Noorzainy berkata tiga lelaki itu berasal dari Negeri Sembilan manakala seorang lagi dari Perak dan mereka datang ke negeri ini sejak dua bulan lepas untuk menjalankan kegiatan jenayah memeras ugut sehingga mampu memperoleh puluhan ribu ringgit.

“Berdasarkan siasatan awal polis, mereka telah memeras ugut lebih 30 warga asing termasuk seorang daripada membayar RM50,000 kepada geng itu. Mereka akan menahan mangsa sebelum mengarahkan warga asing tersebut masuk ke dalam kereta dan mengugut akan membawa ke balai polis jika tidak membayar wang tunai,” katanya.

Katanya selain menjalankan kegiatan itu di daerah SPU, siasatan polis juga mendapati mereka terlibat di beberapa daerah lain di Pulau Pinang dan pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada geng tersebut turut terlibat di negeri lain serta jenayah lain.

“Polis turut merampas kereta yang digunakan mereka dalam kejadian jenayah itu dan siasatan kami ia milik seorang lelaki lain, dipercayai mereka meminjam kereta itu daripada mangsa sebelum menggunakannya untuk kegiatan jenayah,” katanya.

Beliau berkata empat lelaki yang turut positif dadah dan tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai polis.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");