Sukan Hari Ini

Faizul Harap Pulih Ke Yanji

PESILAT kebangsaan, Muhammad Faizul M Nasir berharap dapat segera pulih untuk menyertai Kejohanan Pencak Silat Asia di China, hujung bulan ini.

Atlet berusia 31 tahun yang cedera leher dan tulang belakang ketika tewas kepada lawan di Sukan Sea Filipina itu mengakui keadaannya beransur pulih.

“Saya sedang giat menjalani proses rawatan dan pemulihan bersama Institut Sukan Negara (ISN). Jika diberi kebenaran, saya mahu turut menyertai kem silat ke China sebelum mereka berlepas minggu depan,” katanya kepada Arena Metro.

Cabaran yang julung kali berlangsung di Yanji bermula 25 Disember itu bakal digalas seramai 27 pesilat termasuk dua jaguh negara, Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Faizul berkata, kejohanan itu dianggap penting kerana dirinya belum memiliki pencapaian terbaik tahun ini.

“Sukan Sea sepatutnya menjadi pentas terbaik untuk cemerlang namun nasib tidak menyebelahi saya kali ini,” katanya.

Pada aksi pusingan awal Kelas Putra B, pemenang emas edisi 2015 dan 2017 itu terbaring lebih tiga minit tanpa bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan.

Biarpun cedera dan enam jam tidak sedarkan diri, Faizul yang masih memakai alat penyokong leher hadir menyokong rakan sepasukan sebaik dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Clark City.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");