KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memuji langkah Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang disifatkannya permulaan memperkasakan kerjasama dalam kalangan negara Islam.
Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa yang berjaya mengumpul wakil negara Islam dari seluruh dunia, beliau berkata, jelas sekali penganjuran itu satu langkah proaktif dan sebagai pemangkin bagi menangani banyak masalah membelenggu umat Islam terutama di Asia Barat memetik BHarian.
“Usaha membawa persidangan Islam ke Asia Tenggara, jauh dari tempat yang banyak masalah adalah satu langkah baik kerana rantau ini lebih aman dan tenang berbanding Asia Barat. Saya ucapkan tahniah, ini sesuatu yang membanggakan.
“Kehadiran pemimpin besar dari Turki, Qatar, Iran dan Uzbekistan yang mewakili Asia Tengah sudah cukup sebagai bukti serta permulaan kerjasama memajukan negara dan umat Islam serta mencari jalan menyelesaikan masalah yang membelenggu ummah,” katanya.
Beliau ditemui media selepas perasmian Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Persidangan bertema ‘Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara’ sehingga Sabtu ini, mengumpulkan 450 pemimpin negara Islam dan tokoh-tokoh agama, cendekiawan, pemikir serta bijak pandai dari 56 negara untuk berbicara serta bertukar pandangan mengenai isu berkaitan dunia Islam.
Abdul Hadi berkata, beliau juga tertarik dengan kandungan agenda persidangan yang tidak hanya terhad kepada isu politik, tetapi turut mencangkupi isu pembangunan negara Islam, kemajuan sains dan teknologi serta kerjasama ekonomi yang sangat penting lagi mustahak pada masa ini.
Katanya, beliau dan PAS menyokong inisiatif penganjuran persidangan itu, malah turut mempromosikannya di luar negara melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kehadiran saya ini juga atas jemputan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri. Beliau yang juga pengerusi persidangan ini menjemput saya secara peribadi,” katanya.