Sukan Hari Ini

‘Ia Suara Sumbang Yang Tak Perlu Wujud… ‘

KUALA LUMPUR: “Pandangan seumpama itu dianggap tidak adil dan ia suara sumbang yang tidak perlu wujud jika bekerja secara sukarela untuk memartabatkan sukan negara.”

Demikian kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria yang membidas kenyataan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengenai prestasi skuad badminton negara pada Sukan Sea Filipina.

“Saya melihat prestasi dipamerkan pemain muda kita amat membanggakan termasuk S Kisona yang berjaya menumpaskan pemain di ranking lebih tinggi.

“Selain itu, kita menafikan negara lain tidak menghantar pemain handalan mereka. Sebagai contoh, Indonesia turut menghantar pemain utama seperti Anthony Ginting, Jonatan Christie dan Rusli Hartawan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-17 di Wisma OCM di sini, semalam, lapor Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan luahan Zolkples yang mengatakan sukan badminton tidak boleh berbangga dengan tiga pingat emas dimenangi berikutan pemain negara hanya bernasib baik kerana Indonesia dan Thailand tidak menurunkan pemain utama mereka.

Menerusi surat bertajuk ‘Surat Terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan’, bekas Setiausaha Kehormat BAM itu menganggap Malaysia tidak mampu memenangi walaupun satu emas sekiranya semua pemain terbaik rantau Asia Tenggara menyertai semua acara individu pada temasya dwitahunan berkenaan.

Kelmarin, BAM menerusi satu kenyataan turut menyifatkan Zolkples tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat umum dan menyeluruh kerana ia sama sekali tidak adil kepada pemenang emas badminton yang rata-ratanya berusia 21 tahun.

Pencapaian skuad kebangsaan terutama Kisona dan Lee Zii Jia amat membanggakan kerana menamatkan penantian selama 46 tahun untuk meraih emas serentak dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

Kejayaan cemerlang itu turut diteruskan menerusi gandingan Aaron Chia/Soh Wooi Yik yang menamatkan penantian Malaysia selama 16 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada edisi Vietnam 2003 menerusi gandingan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");