Berita Hari Ini

Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia Meningkat 0.8 Peratus Pada 2018

PUTRAJAYA – Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) meningkat 0.8 peratus kepada 122.4 mata indeks bagi 2018 berbanding 2017, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata subkomposit kesejahteraan ekonomi dan sosial masing-masing naik pada kadar 0.7 peratus dan 1.0 peratus pada 2018 berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi tempoh 2000 hingga 2018, subkomposit kesejahteraan ekonomi meningkat 31.0 mata manakala subkomposit kesejahteraan sosial meningkat 17.7 mata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor Bernama.

Subkomposit kesejahteraan ekonomi merangkumi komponen seperti pengangkutan, pendapatan dan pengagihan serta pendidikan, manakala subkomposit sosial merangkumi komponen seperti liburan, keselamatan awam dan penyertaan sosial.

Dari segi kesejahteraan ekonomi pula, Dr Mohd Uzir berkata komponen pengangkutan mencatatkan indeks tertinggi pada 2018 iaitu 134.7 mata indeks diikuti pendapatan dan pengagihan (133.4 mata indeks) dan komunikasi (130.8 mata indeks).

“Manakala bagi kesejahteraan sosial pula, komponen liburan merekodkan indeks tertinggi iaitu 133.9 mata indeks diikuti keselamatan awam (132.4 mata indeks) dan penyertaan sosial (128.6 mata indeks),” kata Mohd Uzir.

IKRM dibangunkan bagi memberi gambaran mengenai tahap kesejahteraan rakyat menggunakan 14 komponen yang meliputi subkomposit kesejahteraan ekonomi dan subkomposit kesejahteraan sosial.

Ia merupakan penambahbaikan kepada Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) yang telah diterbitkan buat pertama kalinya pada 1999 bertujuan mengukur secara kuantitatif pencapaian negara dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.

IKRM dijadikan tanda aras penting dalam penggubalan dasar dan program ke arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");