Berita Hari Ini

India Patut Malu – Hadi Awang

KUALA LUMPUR: PAS mengkritik tindakan India meluluskan undang-undang memberi kerakyatan kepada pendatang asing yang hanya terpakai kepada masyarakat bukan Islam.

Sambil menyifatkan ia budaya pilih kasih paling ketinggalan zaman, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tindakan itu dikenakan terhadap umat Islam yang banyak berjasa kepada tamadun seluruh dunia termasuk India.

Beliau berkata, India sewajarnya menyedari ramai rakyatnya diterima menjadi pekerja dan bermastautin di negara umat Islam khususnya negara Arab.

“Sepatutnya India malu kepada Malaysia khususnya yang menerima pendatang India dibawa penjajah menjadi warga negara dan tidak lagi mahu pulang ke India.

“Adalah tidak wajar sebuah negara besar seperti India boleh terpengaruh dengan propaganda Islamofobia yang ditaja Barat terhadap umat Islam.

“Apakah negara seperti India boleh terpengaruh dengan Barat yang pernah menjajahnya, sehingga berasakan dirinya sebahagian daripada dunia Barat, bukan berada di benua Asia. Apakah India belum merdeka maruah dan jiwanya, walaupun penjajah Barat sudah keluar daripada buminya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 11 Disember lalu, Parlimen India meluluskan rang undang-undang kontroversi untuk memberi kerakyatan kepada pendatang haram bukan Islam dari negara tertentu, ketika ratusan anggota tentera dikerahkan ke wilayah Timur Laut yang berdepan protes ganas.

Rang Undang-Undang itu akan membenarkan Kerajaan India memberi kewarganegaraan kepada berjuta pendatang haram yang memasuki negara itu dari tiga negara jirannya sebelum 2015, tetapi ia dikecualikan untuk umat Islam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik keputusan Kerajaan India itu yang disifatkan menindas penduduk Islam.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, perkara seumpama itu tidak pernah dibuat Malaysia dan jika ia dilaksanakan di sini, ramai akan menderita.

Perdana Menteri terus mempertahankan kritikannya walaupun Kementerian Hal Ehwal Luar India menyifatkan kritikan itu sebagai tidak tepat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, perubahan di India kini mengundang masalah besar kepada negara itu sendiri, sama ada dalam negara atau hubungan antarabangsa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");