Sukan Hari Ini
Like

ISN Teroka Peluang Kerjasama Dengan Syarikat, Institut Sukan Luar Negara

December 25, 2019
373 Views
0 Comments
2 minutes read
ISN Teroka Peluang Kerjasama Dengan Syarikat, Institut Sukan Luar Negara

KUALA LUMPUR – Institut Sukan Negara (ISN) merancang untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan beberapa institut sukan luar negara, terutamanya di benua Asia dan Eropah melibatkan pertukaran kepakaran dalam bidang sains sukan pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata beliau tertarik dengan teknologi dan kepakaran sains sukan yang dipamerkan pada Kongres ASIA (Persatuan Institut Sukan di Asia) di Qatar baru-baru ini yang menghimpunkan ramai pakar sains sukan dari benua Asia.

“Kita akan terus mengambil pendekatan untuk bekerjasama rapat dengan mereka untuk pertukaran maklumat, pengetahuan dan teknologi dari segi penambahbaikan sains sukan dalam kalangan negara Asia sendiri.

“Di Eropah, pada masa kini, kita mempunyai peluang untuk bekerjasama dengan institut-institut sukan yang serupa seperti English Institute of Sports, di Ireland juga sama, dan kita akan teroka peluang kerjasama dalam bidang sama (sains sukan),” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Ahmad Faedzal berkata mereka menjadikan Amerika Syarikat sebagai penanda aras memandangkan negara berkenaan mempunyai teknologi, perubatan sains sukan selain pengkomersilan produk sukan yang terbaik di dunia.

Mengambil contoh Arena College of Sports di Amerika Syarikat sebagai penanda aras terbaik kerana ia seperti sebuah pusat perniagaan yang turut menjual produk sukan yang menjana pendapatan kepada kolej berkenaan, malahan turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan sekitar.

“Jadi, idea berkenaan akan kita bawa dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025) dan ISN sendiri akan bawa idea-idea baharu ini yang boleh melonjakkan industri sukan Malaysia.

“Contohnya pengkomersilan sukan universiti di Malaysia dijadikan sebagai satu strategi untuk kita wujudkan satu industri baharu di mana kita boleh wujudkan peluang-peluang kepada anak-anak muda di negara ini, selain menjana pendapatan kepada universiti itu sendiri, dan memberi peluang kepada jenama tempatan untuk menembusi pasaran baharu,” tegas Ahmad Faedzal.

ISN adalah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang merupakan peneraju kepada pembangunan kemajuan dan kecemerlangan sains, perubatan dan teknologi sukan negara.

Komen & Pendapat

Comments are closed.