Perak Hari Ini
Like

Isu Sabotaj Dalam Negeri Masih Terkawal- Hasnul

December 10, 2019
271 Views
0 Comments
3 minutes read
Isu Sabotaj Dalam Negeri Masih Terkawal- Hasnul

IPOH- Penjawat awam Perak disifatkan mendukung serta menghormati sepenuhnya prinsip Rukun Negara kedua iaitu ‘Kesetiaan kepada Raja dan negara’ sepanjang melaksanakan tugas di bawah pimpinan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata setakat ini, sebarang isu sabotaj melibatkan pegawai kerajaan ataupun penjawat awam masih dapat dikawal disebabkan oleh ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam mentadbir negeri.

“Perkara ini dapat diterjemahkan dengan sistem penyampaian di bawah walaupun berlaku beberapa persoalan khususnya mengenai pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Azman Abu Seman.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya mengenai isu Zainal Azman ini, tetapi ia sebenarnya bukanlah kerana ketidakselesaan beliau tetapi pertukaran tersebut adalah disebabkan beliau dianugerahkan kenaikan pangkat di mana perkara ini sama sekali tidak dapat dihalang,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Perasmian Kempen Setia Perakku @ KEMAS di Bangunan Persekutuan, hari ini.

Katanya yang juga Ketua Pemuda Amanah, kerajaan negeri juga akan terus menangani isu berkaitan ketua jabatan yang tidak memberikan kerjasama namun, menurut beliau selepas berlaku pertukaran ianya berjalan dengan lancar.

“Ada pertukaran berkaitan dengan isu tidak mampu berkerjasama dan ada isu di mana penjawat awam tersebut mampu berkhidmat dengan jawatan yang lebih tinggi tetapi hanya sebilangan kecil dan ianya tidak melibatkan khidmat bakti di bawah.

“Tetapi jika tidak ditangani, kita bimbang perkara yang sama bakal berlaku,” katanya.

Selain itu kata Hasnul mengenai keterlibatan penjawat awam dalam program-program yang dianjurkan di mana ia hanya melibatkan sebilangan kecil yang masih belum boleh menerima kehadiran kerajaan yang sedia ada kerana sudah lama terlibat dengan kerajaan terdahulu sehinggakan sedikit sebanyak memberikan rasa tidak selesa.

“Setelah teguran dibuat, malahan adanya pertukaran tempat, saya percaya bahawa individu yang berkaitan berasa bahawa mereka perlu setia dengan kerajaan yang sedia ada.

“Kerajaan yang baru penggal pertama menjalankan mana-mana agenda mengalami sedikit kesukaran kerana keunikan negeri ini tetapi melalui pembentangan kertas kerja Setia Perakku ini, diharap fokus utama dapat sampai ke halwa telinga penjawat awam dan ketua jabatan malahan mereka juga memahami hasrat kerajaan yang ada,” katanya.

Menurut beliau, fokus utama program Setia Perakku adalah kepada penjawat awam yang berkhidmat di negeri Perak dan tujuan utamanya adalah untuk memberi penerangan dan menerbitkan rasa percaya terhadap pentadbiran negeri Perak.

“Pengisian yang dibuat terhadap program menunujukkan riaksi positif walaupun sebelum ini terdapat segelintir kecil yang meragui keupayaan pentadbiran kerajaan negeri malahan program yang dilaksanakan ini memang mendapat sambutan serta sokongan berterusan.

“Saya percaya mereka tiada agenda untuk tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri,” katanya apabila mengulas mengenai kehadiran kira-kira 400 orang penjawat awam KEMAS pada majlis berkenaan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.