Perak Hari Ini

Isu Tanah Kampung Baharu: Amanah Perak Akan Akur Dengan Keputusan Kerajaan Negeri

IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyerahkan kepada Kerajaan Negeri berhubung isu tuntutan hak milik kekal tanah kampung baharu.

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata pihaknya akan akur kepada sebarang keputusan yang akan ditetapkan Kerajaan Perak berkenaan isu tersebut.

“Apa sahaja diputuskan Kerajaan Perak, itu juga keputusan kita. Pada saya tidak timbul soal Amanah, DAP, PKR ataupun Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) kerana kita membentuk kerajaan atas nama Pakatan Harapan (PH).

“Tengoklah apa keputusannya namun setakat ini yang kita tahu, tidak ada sebarang perkembangan terbaru berkenaan hak milik kekal tanah kampung baharu.

“Sehingga kini, kita masih kekal dengan peruntukan yang ditetapkan Kanun Tanah Negara 1965,” katanya semasa ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Back To School dan Biasiswa Menteri Besar Perak di SMK Kampung Dato Ahmad Said di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan gesaan Gagasan Melayu Perak (GMP) yang mahu Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Amanah menyatakan pendirian mereka berkenaan isu ini.

Dalam pada itu, Asmuni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, berkata isu tersebut tidak mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

Malah tegasnya hubungan dalam kalangan Exco Kerajaan Negeri juga baik dan tidak seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

“Tidak ada timbul isu antara kami dalam hal ni. Yang ‘buat bising’ ini hanya ‘orang luar’ sahaja sebenarnya.

“Ada yang kata kononnya kerajaan negeri goyang dan sebagainya padahal kami tenang sahaja dan dapat bermesyuarat seperti biasa.

“Perjalanan mesyuarat juga harmoni yang mana semua dapat bersuara berbanding pentadbiran yang dahulu, seperti yang saya tahu, hanya seorang sahaja bercakap dan lain hanya mengangguk.

“Kita kini tidak seperti itu. Kita semua dapat bersuara dan keputusan dibuat secara konsensus,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");