Sukan Hari Ini
Like

Izzah Dapat Semula Pingat Emas Acara Riben

December 10, 2019
382 Views
0 Comments
1 minute read
Izzah Dapat Semula Pingat Emas Acara Riben

NEW CLARK CITY (Filipina) – Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) bersetuju untuk memulangkan semula pingat emas dimenangi gimnas kebangsaan, Izzah Amzan dalam apparatus riben pada temasya Sukan SEA ke-30, Sabtu lalu, setelah meneliti buku peraturan teknikal temasya sukan dwitahunan itu.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yang memaklumkan emas berkenaan akan dimasukkan semula ke dalam carta kutipan pingat kontinjen Malaysia selewat-lewatnya hari ini.

“Mereka (PHISGOC) bersetuju dengan klausa dalam buku peraturan Sukan SEA dan akan memulangkan semula (pingat emas) berkenaan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Semakan di dalam laman sesawang rasmi Sukan SEA Filipina, gms.2019seagames.com hari ini, mendapati sekretariat pertandingan masih belum memasukkan nama Izzah sebagai pemenang bersama dengan seorang lagi gimnas negara, Koi Sie Yan.

Dua gimnas kebangsaan itu sebelum ini mencatat kutipan 15.200 mata dalam apparatus riben tetapi juri mengisytiharkan Sie Yan sebagai pemenang pingat emas manakala Izzah di tempat kedua berdasarkan perbezaan tahap kesukaran melakukan rutin.

Pihak teknikal pertandingan, bagaimanapun, mengisytiharkan kedua-dua gimnas negara itu sebagai pemenang bersama selepas kem negara membuat bantahan terhadap keputusan awal oleh pihak juri.

Sehari kemudian, PHISGOC dilaporkan telah menarik balik pingat emas kerana dikatakan mengikut peraturan teknikal Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) sekiranya dua gimnas terikat dengan keputusan sama, pemenang ditentukan mengikut tahap kesukaran rutin.

Izzah turut memenangi satu emas dalam acara bola serta satu pingat perak dalam acara gelung.

Komen & Pendapat

Comments are closed.