Perak Hari Ini

‘Jangan Uji Kesabaran Saya’ – Anwar

KUALA KANGSAR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah untuk mendengar pelbagai pandangan atau kritikan terhadap partinya oleh kalangan ahli.

Walau bagaimanapun ujarnya beliau tidak akan berkompromi sekiranya perkara tersebut berlarutan sehingga seolah-olah menampakkan PKR berada dalam perpecahan.

“Kita parti keadilan yang mengamalkan semangat demokrasi. Saya tak mahu keadaan apabila cakap sidikit sudah kena ‘pancung’.

“Ada orang kata Anwar terlalu lemah dan terlalu bersabar. Ya saya memang bersabar. Tetapi jangan uji saya.

“Saya bersabar kerana saya berpandangan semua pihak berhak beri pandangan. Namun jika kesabaran itu sehingga menggambarkan seolah-olah parti lemah dan berpecah, itu saya tidak boleh.

“Kerana selagi saya sebagai Presiden parti, tanggungjawab saya untuk bina kekuatan parti dan hormat suara di akar umbi,” katanya.

Tambahnya lagi, dakwaan yang menyebut partinya sedang mengalami pepercahan adalah tidak benar sama sekali.

“Yang sibuk katakan kita berpecah itu apa? Kita ada 1 juta ahli. Tiga empat orang yang ‘complain’ itu biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Keadilan Perak di Dewan Jubli Perak di sini, malam tadi.

Ia dihadiri lebih 4,000 orang perwakilan dari seluruh cabang di Perak serta pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat.

 

Pada masa sama, Anwar turut mengingatkan agar ahli PKR untuk mengenepikan soal perbezaan kaum dalam parti.

Katanya PKR adalah sebuah parti yang meletakkan pembelaan terhadap semua rakyat berbilang kaum di negara ini sebagai wadah perjuangan.

Beliau juga turut menggesa agar ahli-ahlinya khususnya yang berada dalam Kabinet atau Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk membantu meningkatkan ekonomi negara yang disifatkan tiada perubahan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Jelasnya hanya menerusi perkembangan ekonomi pendapatan negara akan bertambah dan seterusnya ia dapat digunakan untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dalam golongan yang memerlukan.

Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu sekali lagi mengulangi pendiriannya menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");