Berita Hari Ini

Janji Sejuta Kerja, Hakikatnya Ribuan Hilang Pekerjaan: Tok Mat

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menjanjikan sejuta pekerjaan baharu melalui manifesto mereka namun yang berlaku setahun kebelakangan ini, ribuan rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan ekonomi sekarang sudah tidak semakmur sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengakibatkan ramai hilang pekerjaan.

“Bercakap menjual mimpi memang mudah namun apabila mahu melaksanakannya, nampak seperti bertelur sebiji riuh sekampung sahaja.

“Apa yang lebih menyedihkan dan membimbangkan, terdapat kecenderungan kehilangan kerja ini membabitkan kepentingan bahasa kebangsaan.

“Pada Oktober lalu Utusan Melayu (M) Berhad terpaksa ditutup mengakibatkan hampir 1,000 orang hilang pekerjaan.

“Bulan lalu juga Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengumumkan beratus pekerjanya akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa sebulan dua ini,” katanya melalui status di Facebook beliau.

Tambah Mohamad, minggu ini juga terdapat ura-ura ribuan pekerja Media Prima di TV3, NTV7, 8TV, TV9, New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro bakal diberhentikan.

“Saya khuatir, tidak lama lagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga akan berhadapan dengan tindakan rasionalisasi sumber yang hampir sama.

“Apa sebenarnya yang berlaku kepada negara kita ini? Adakah semua pemberhentian membabitkan industri yang mengembang dan menyuburkan bahasa kebangsaan ini?

“Adakah kerana faktor ekonomi semata-mata atau juga kerana sikap tidak peduli kerajaan?” soal beliau.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, PH sebelum ini mempunyai seribu jawapan membela nasib pekerja namun hari ini mereka seperti tidak nampak ‘gajah di depan mata’.

“Kerajaan mempunyai banyak kuasa dan pengaruh untuk mengurangkan beban rakyat termasuk membantu industri berkaitan ilmu dan bahasa kebangsaan.

“Namun kuasa sentiasa menguji dan mengalpakan manusia,” katanya memetik Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");