Panasnya Hari Ini

Jho Low Penasihat Sultan Sebelum TIA Jadi 1MDB, Kata Najib

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Najib Razak memberitahu perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ahli perniagaan Low Taek Jho ialah penasihat sultan Terengganu ketika sayap pelaburan negara 1MDB dikenali sebagai Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

Katanya, pada 2009, Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low rapat dengan Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

“Saya difahamkan Jho Low dilantik sebagai penasihat kepada lembaga penasihat TIA dengan pengerusinya ialah sultan sendiri,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya.

Ahli Parlimen Pekan itu yang membela diri atas 7 pertuduhan jenayah, berkata beliau hanya memahami konsep TIA selepas berbincang dengan sultan dan kerajaan negeri.

Pada permulaan prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang pihak pembelaan hanya menyediakan pernyataan Najib setebal 243 muka surat pagi ini.

“Kami perlu meneliti pernyataan itu untuk mengenal pasti apa bukti yang tidak boleh diterima disebabkan pengenalan keterangan dengar-cakap,” katanya sambil menambah pendakwaan akan membenarkan Najib membaca pernyataannya tanpa diganggu, tetapi mereka berhak memohon untuk mengeluarkan bukti tidak boleh diterima.

Ketika perbicaraan 1MDB berlangsung, mahkamah diberitahu Najib mengawal TIA sebelum namanya ditukar kepada 1MDB dengan meminda perlembagaan entiti itu pada 2 Sept 2009.

Hari ini, Najib berkata, beliau mengekalkan Jho Low dalam 1MDB kerana ahli perniagaan itu menggambarkan dirinya sebagai individu berpengaruh di Timur Tengah.

“Saya percaya beliau dapat memudahkan perkara berkaitan pelaburan kerana negara-negara itu mempunyai lebihan tunai disebabkan kenaikan harga minyak mentah.”

Atas alasan itu, katanya, beliau merasakan pengaruh dan hubungan Jho Low boleh memanfaatkan matlamat pelaburan 1MDB.

Beliau berkata, sultan dan kerajaan negeri memutuskan penubuhan TIA pada awal 2009 dengan modal RM11 bilion memetik laporan FMT.

Katanya, RM6 bilion datang daripada royalti minyak yang Putrajaya hutang kepada Terengganu, manakala baki RM5 bilion daripada terbitan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana yang dijamin kerajaan persekutuan.

Najib yang juga menteri kewangan ketika itu berkata, Terengganu tidak bersetuju dengan syarat bon itu menyebabkan Kabinet meluluskan pengambilalihan TIA.

“Keputusan itu dibuat bagi melindungi kerajaan negeri dan sultan daripada dimalukan. Ia juga untuk mengelakkan sebarang kesan global negatif ke atas pasaran bon Malaysia.”

Najib berkata, pengarah 1MDB daripada TIA kerana mereka mempunyai pengalaman berkhidmat kepada syarikat berkaitan kerajaan yang lain.

Katanya, pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB tidak menunjukkan kepadanya sebarang pindaan perlembagaan syarikat itu untuk memberi kuasa khusus kepada perdana menteri.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau turut berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 dakwaan pecah amanah memindahkan RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB itu ke akaunnya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");