Berita Hari Ini

JPH Meluluskan Program Pinjaman Kerajaan Persekutuan 2020 – Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) telah mengesahkan Program Pinjaman Kerajaan Persekutuan 2020, termasuk opsyen untuk menerbitkan satu lagi bon Samurai.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata JPH pada 2 Disember, 2019, telah bermesyuarat dan berbincang mengenai pelan tindakan untuk mengurus hutang dan liabiliti kerajaan.

“Jawatankuasa menyatakan keperluan untuk mengawal obligasi jaminan kerajaan (government guarantees atau GG) dan usaha sama awam swasta bagi mengelakkan pemindahan beban hutang antara-generasi secara berlebihan, di mana generasi mendatang akan bertanggungjawab menanggung beban hutang yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa telah meneliti jaminan kerajaan yang sedia ada dan baharu, serta amalan terbaik yang terkini dalam menilai dan memantau liabiliti luar jangka melalui penggunaan teknologi kewangan (fintech).

Lim berkata kerajaan komited dalam menjalankan konsolidasi hutang dan liabiliti. Dalam jangka masa sederhana, kerajaan menyasarkan untuk menurunkan nisbah hutang dan liabiliti kepada 65 peratus berbanding KDNK pada akhir-2025, daripada 77.1 peratus pada akhir-Jun 2019.

“Hutang dan liabiliti (setakat akhir Jun,2019) terdiri daripada hutang langsung kerajaan (52 peratus), jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibiayai oleh kerajaan (10.4 peratus), hutang 1MDB (2.1 peratus), serta pelbagai liabiliti lain, iaitu obligasi usaha sama awam swasta (public-private partnership atau PPP), Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT) dan private finance initiative (PFI) (12 peratus),” katanya.

Mengenai hutang luar negeri Malaysia, ia adalah sebanyak RM931.1 bilion pada akhir-Jun 2019. daripada nilai tersebut, hanya RM190.0 bilion merupakan hutang langsung kerajaan, kata Lim.

“Hutang luar negeri adalah berbeza daripada hutang langsung Kerajaan. Hutang luar negeri terdiri daripada pinjaman luar pesisir, deposit bukan pemastautin, serta hutang individu, syarikat dan kerajaan yang dipegang oleh orang bukan pemastautin,” katanya.

Lim berkata tempoh nilai hutang langsung suku pertama 2018 berjumlah RM705.0 bilion, ia meningkat pada suku kedua 2019 kepada RM799.1 bilion.

“Jumlah RM94.1 bilion tersebut telah membiayai perbelanjaan pembangunan, defisit fiskal serta pembayaran balik hutang (termasuk hutang 1MDB),” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");