Sukan Hari Ini

Julang Tali Pinggang Antara Benua IBF Hadiah Buat Negara – Farkhan

JOHOR BAHRU – Petinju profesional negara Muhammad Farkhan Haron menyifatkan kemenangannya menjulang tali pinggang Juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) sebagai hadiah buat negara.

Petinju kelahiran Johor itu menewaskan Pascal Abel Ndomba daripada Tanzania menerusi pukulan teknikal knock out (TKO) pada pusingan ketujuh dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Muhammad Farkhan terus mempertahan gelarannya bagi Juara Asia Kelas Cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Kelas Light Heavyweight Majlis Tinju Dunia (WBC).

“Saya menyifatkan ini hadiah terbaik untuk Malaysia. Malah sebelum masuk ke gelanggang, saya cakap pada diri sendiri, saya berdiri di sini adalah untuk arwah ayah saya, keluarga, raja dan negara,” katanya, lapor Bernama.

Beliau menjelaskan Ndomba bukanlah lawan yang dianggap mudah dengan kelebihan 35 perlawanan sepanjang kariernya.

“Kalau kita tengok, Ndomba lebih berpengalaman dengan 24 kemenangan dan 22 daripadanya menerusi KO dan keseluruhan ada 35 perlawanan manakala saya baru ada 10 perlawanan.

“Tetapi Alhamdulillah menang. Tumbukan tepat di hulu hati dan rusuknya,” katanya.

Anak kepada bekas petinju negara, Allahyarham Mohd Haron Ismail itu pada masa sama berkata akan bekerja lebih kuat tahun hadapan untuk pertahankan kemenangan itu.

“Saya kena kerja lebih kuat daripada sebelum ini …mungkin dua atau tiga kali ganda untuk pertahan gelaran ini,” katanya.

Beliau turut bersedia untuk bertarung dengan Ndomba sekali lagi seperti apa yang dimahukan pemain yang diberi nama jolokan “The African Tyson” itu.

“Bila-bila masa …mana-mana tempat …mari lakukan (jadikan ia satu kenyataan),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");