Berita Hari Ini

Kabinet Tentukan Potongan Elaun Menteri, Kata Guan Eng

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan menyerahkan kepada Kabinet berhubung cadangan elaun menteri dan ahli politik dipotong, seperti yang disaran Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut BH Online, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata apa juga langkah penjimatan adalah sesuatu yang baik dan dialu-alukan.

Beliau berkata, apabila melihat dari aspek penjimatan, ia dialu-alukan namun perkara terbabit membabitkan menteri lain.

“Saya percaya ia perlu diputuskan Kabinet…biar Kabinet tentukan.

“Bukan saya yang putuskan perkara terbabit…saya perlu hormat rakan-rakan (menteri dan ahli politik) lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Festival LIFT Putrajaya 2019 di sini, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bersetuju menangguhkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi penjawat awam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal.

Perkara itu diumumkan Syed Saddiq selepas melakukan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Mengumumkan perkara itu menerusi rakaman video di laman Twitter rasminya, Syed Saddiq berkata, Dr Mahathir juga setuju untuk membincangkan isu berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pertama tahun hadapan.

Ia susulan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu pekeliling yang dikeluarkan Jumaat minggu lalu, antara lain mengumumkan bakal memansuhkan lapan elaun bermula tahun hadapan.

Ia termasuk BIPK, Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan serta beberapa elaun lagi.

Langkah itu mendapat bantahan banyak pihak termasuk Syed Saddiq yang menyarankan supaya elaun ahli politik dan menteri yang dipotong, bukannya elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Sebagai permulaan, Syed Saddiq turut memendekkan cuti tahunan dan memulangkan peruntukan yang diterima sebagai elaun percutian, selain mengurangkan 10 peratus gajinya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");