Berita Hari Ini

Kadir Jasin, Kenapa Dulu Cakap Lain Sekarang Sudah Lain?

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin berhubung abu mayat Chin Peng baru-baru ini ditegur kerana bercanggah dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan beliau lebih 10 tahun lalu.

Kadir dalam satu hantaran di blognya tiga hari lepas mendakwa orang Melayu Malaysia malas membaca, malas berfikir di samping tidak gemarkan sejarah dan mudah sangat lupa.

Ini menyebabkan mereka bertegang urat dan berbahas secara tidak rasional mengenai debu ketua komunis itu yang dibawa balik ke Malaysia untuk disemadikan, katanya.

Sedangkan menurut Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad, kenyataan tersebut jauh bercanggah dengan apa yang pernah ditulis A. Kadir dalam blognya pada 2009.

Pada 30 Mei 2009, A. Kadir dalam blog yang sama menulis, setiap pihak wajib mengingati bahawa sikap anti-komunis dan pengorbanan darah daging orang Melayu yang melawan keganasan bersenjata Parti Komunis Malaya menyebabkan gerakan itu tumpas.

Malah A. Kadir juga menasihatkan supaya parti-parti politik agar menjaga hati orang Melayu yang sudah sekian lama menjeruk rasa sebelum menggunakan isu Chin Peng untuk meraih undi dan melaksanakan sikap kemanusiaan.

“Mengapa beliau telah membuat tuduhan bahawa orang Melayu yang membantah tindakan membawa masuk debu mendiang Chin Peng sebagai orang yang malas membaca, malas berfikir, benci sejarah tanah air dan orang Melayu jenis mudah lupa? https://kadirjasin.blogspot.com/…/isu-debu-chin-peng-petand…

“Apakah beliau telah lupa bahawa genap sepuluh tahun yang lalu iaitu pada 30 Mei 2009, beliau jugalah orangnya yang telah menulis di dalam blog yang sama tetapi dengan nada yang berbeza?

“Dulu di tahun 2009, beliau kata jangan sesiapa persendakan perasaan orang Melayu apabila cuba membawa masuk Chin Peng ke Malaysia.

“Beliau tegaskan bahawa orang Melayu adalah pejuang yang telah berjaya mengalahkan penganas komunis. Sekarang di tahun 2019, beliau pula kata orang Melayu sudah keliru dan bangsa Melayu adalah bangsa yang malas membaca dan berfikir sebab mahu menentang tindakan membawa masuk debu mendiang Chin Peng. Dituduh orang Melayu malas membaca isi Penjanjian Perdamaian Malaysia dan PKM 1989.

“Dulu beliau cakap lain. Sekarang beliau dah cakap lain. Dulu yang betul atau sekarang yang betul?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Laporan media mengenai abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak yang masih belum boleh melupakan kekejaman rejim komunis.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lepas dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng, yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.- MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");