Perak Hari Ini

Kampung Persaraan Di Ulu Slim Digelar Mini Fukuoka

IPOH- Kerajaan negeri berhasrat menamakan Projek ‘Retirement Village’ atau Pusat Penjagaan Warga Emas dan Pusat Latihan Pengurusan Warga Emas di Ulu Slim sebagai Mini Fukuoka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hasrat tersebut adalah bagi menghargai kerjasama erat dua bandar raya tersebut ekoran sambutan 30 tahun Program Bandar Raya Berkembar Ipoh-Fukuoka.

“Kami amat menghargai kesudian Bandaraya Fukuoka berkongsi pengalaman mengenai Inisaitif Fukuoka 100, sebuah program Kehidupan Sihat Sehingga Usia 100 Tahun.

“Perkara ini sangat membantu dalam dalam melaksanakan Pusat Penjagaan Warga Emas dan Pusat Latihan Pengurusan Warga Emas di Ulu Slim, Perak di mana jawatankuasa kerja melibatkan pihak kerajaan negeri dan Bandaraya Fukuoka akan memulakan kerjasama ini dalam waktu terdekat,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena Jamuan Makan Malam bagi meraikan Sambutan Ulang tahun ke-30 Bandaraya Berkembar Ipoh-Fukuoka di Hotel Kinta Riverfront, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta seramai 27 orang delegasi dari Bandar Raya Fukuoka diketuai oleh Datuk Bandar Fukuoka, Takashima Soichiro.

Terdahulu, semasa pembentangan Bajet 2020, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing telah mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan tanah seluas 780 ekar di Ulu Slim untuk dijadikan Projek Pembangunan Korridor Persaraan, iaitu Projek ‘Retirement Village’ yang dikendali oleh Maju Perak Holdings Bhd dan dijangka akan melibatkan pelaburan tempatan dan asing.

Katan May Ing, projek tersebut adalah untuk mewujudkan satu perkampungan yang sesuai untuk bersara kerana Ulu Slim merupakan kawasan yang paling sesuai untuk membangunkan konsep kampung persaraan ini.

Untuk memulakan projek itu, Kerajaan Bandaraya Fukuoka telah merancang untuk menganjurkan beberapa seminar di seluruh Fukuoka tahun depan untuk membolehkan pengendali dan pihak berkepentingan penjagaan bandar diberi taklimat oleh wakil Kerajaan Negeri Perak, dan kemudiannya dijemput untuk melawat negeri Perak dan tapak air panas Ulu Slim.

Dengan membangunkan Mini-Fukuoka City di Ulu Slim, kedua-dua kerajaan Perak dan Fukuoka akan bekerja untuk menyelesaikan masalah penuaan masyarakat di Jepun termasuk kekurangan pekerja penjagaan dan kenaikan kos penjagaan, serta mewujudkan pekerjaan mahir untuk belia tempatan di Perak dan menawarkan perkhidmatan penjagaan yang lebih baik kepada warga tua tempatan.

Hubungan kedua-dua Bandar raya dimeterai secara rasminya pada 21hb Mac 1989 apabila Datuk Bandar Ipoh yang pertama, Datuk Haji Umar bin Haji Abu, bersama Datuk Bandar Fukuoka, Keiichi Kuwahara telah menandatangani satu surat perjanjian Program Bandar Raya Berkembar Ipoh-Fukuoka, Jepun.

Sejak jalinan ini dimeterai, ia telah memperkukuh persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua banda raya ini dalam pelbagai bidang terutamanya kebudayaan, pendidikan, sains & teknologi dan pelancongan.

Selain itu kata Ahmad Faizal, hubungan erat tersebut akan diperkukuhkan lagi dengan adanya Perjanjian Persefahaman kerjasama di antara Zoo Taiping & Night Safari dgn Fukuoka City Zoological Garden di Taiping, berhubung pertukaran haiwan.

“Saya difahamkan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk bertukar-tukar beberapa spesis burung menerusi perjanjian ini,” katanya.

Sementara itu kata Datuk Bandar Fukuoka dalam bahasa Jepun yang diterjemah ke Bahasa Inggeris, MOU tersebut bertindak sebagai permulaan kepada program pertukaran haiwan telah diputuskan pada bulan Januari tahun ini diantara Majlis Perbandaran Taiping dan Bandaraya Fukuoka.

“Rundingan yang lebih terperinci akan diadakan, yang mana, esok pihak dari Zoo Taiping dan Zoo Fukuoka, akan mengadakan MoU yang lebih terperinci bagi program pertukaran haiwan ini.

“Kami akan terus berkerjasama dengan Kerajaan Perak untuk menyumbang kepada perlindungan dan pemuliharaan haiwan dan spesis, serta mengukukuhkan kerjasama diantara kedua-dua zoo,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");