Sukan Hari Ini

Keadaan Muhammad Faizul Bertambah Baik – Megat Zulkarnain

NEW CLARK CITY (Filipina) – Pesilat elit negara, Muhammad Faizul Mohd Nasir yang mengalami kecederaan muka yang serius semalam, disahkan sudah beransur pulih setelah menjalani rawatan lanjut di Pusat Perubatan The Medical City, Clark, dekat sini sejak semalam.

Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pesilat kelahiran Petaling Jaya itu telah sedar daripada koma, namun tidak berupaya untuk berkomunikasi dengan pelawat yang mengunjungi, kerana badannya masih lemah susulan rawatan yang diterimanya.

“Daripada apa yang dimaklumkan kepada saya, Muhammad Faizul telah menjalani ct scan dan juga X-Ray dan beliau telah sedar, namun doktor terlibat sedang memantau perkembangan beliau dalam tempoh 72 jam ini.

“Lewat malam semalam, kesihatan beliau sudah bertambah baik dan kita berharap dapat menggunakan khidmat seorang pakar neuro untuk memantau beliau,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum majlis penyampaian pingat kepada pemenang acara boling padang di CDC Lot, Friendship Gate, dekat sini, hari ini, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain yang merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menjelaskan, pihaknya tidak akan membuat rayuan kepada sekretariat pertandingan berhubung keputusan wasit memberikan kemenangan 5-0 ke atas wakil tuan rumah, Dines Dumaan yang menewaskan Muhammad Faizul dalam kelas Putera B (50-55kg).

Muhammad Faizul dilaporkan koma setelah Dumaan menyepak muka pesilat berkenaan sewaktu berdepan Dumaan pada aksi di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic, semalam.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu dilaporkan dikejarkan James L. Gordon Hospital dan Baypointe Hospital and Medical Center di sini, sebelum dirujuk kepada doktor pakar The Medical City, Clark susulan dua pusat perubatan berkenaan dikatakan kekurangan doktor pakar.

Muhammad Faizul sebelum itu dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedar diri, akibat daripada kecederaan muka yang dialaminya, semasa menentang pesilat tuan rumah, Dines Dumaan di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain melaungkan keyakinan bahawa tumpuan atlet negara untuk memburu lebih banyak kilauan emas tidak akan terjejas, walaupun walaupun Taufan Kammuri sedang membadai beberapa tempat di Filipina ketika ini.

Menurut laporan antarabangsa, sekurang-kurang seorang terbunuh, manakala ribuan rakyat di Filipina dipindahkan serta operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino digantung ketika Taufan Kammuri, yang juga dikenali sebagai taufan Tisoy oleh penduduk tempatan, semakin mendekati pulau utama Luzon.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");