Berita Hari Ini

Kerajaan Jamin Identiti Kampung Baru Kekal

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan, identiti Kampung Baru akan dikekalkan serta ciri kemelayuan serta keislamannya bakal terus dimartabatkan selepas ia wujud lebih 100 tahun di tengah Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata sehubungan itu pihaknya merancang menyediakan beberapa pembangunan khas seperti pusat persembahan teater Melayu, projek Taman Warisan Melayu selain mengekalkan beberapa bangunan sedia ada seperti Masjid Kampung Baru dan Kelab Sultan Sulaiman.

“Nama-nama jalan juga dikekalkan… penting bagi kita untuk membangunkan masyarakat Melayu di situ.

“Kalau di negara lain, sekiranya kawasan milik sesuatu kaum tidak dibangunkan, mereka akan mendakwa telah didiskriminasi atau dianaktirikan oleh kerajaan.

“Kerajaan mahu bina kawasan petempatan orang Melayu yang moden, lengkap, sempurna, selesa dan tersusun,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif mengenai pencapaian Kementerian Wilayah Persekutuan sepanjang 2019 di TV1 malam tadi.

Khalid berkata pada hujung bulan lalu sehingga pertengahan tahun depan, kementeriannya melakukan pertemuan secara berkumpulan dengan pemilik dan pewaris bagi mendapatkan persetujuan serta menjelaskan tujuan kerajaan membangunkan Kampung Baru.

“Setakat ini kementerian menerima maklumat balas daripada 40 peratus penduduk Kampung Baru.

“Kita mahu memberikan penjelasan tepat kepada penduduk dan pewaris bahawa soal rampas tanah, tidak timbul. Saya yakin tawaran yang diberikan adalah cukup baik,” katanya mengenai tawaran sebanyak RM1,000 bagi satu kaki persegi tanah kampung itu.

Sementara itu Khalid berazam agar Pelan Pembangunan Bandar Raya Kuala Lumpur 2040 dapat dilaksanakan seperti dirancang dalam usaha membetulkan pembangunan yang selama ini tidak mengikut apa yang sepatutnya.

“Sebenarnya banyak masalah di Wilayah Persekutuan terutama di Kuala Lumpur, memandangkan terdapat pembangunan tidak mengikut undang-undang atau rancangan induk yang ditetapkan, ada yang tersasar.

“Jadi sekarang kita nak betulkan keadaan ini dan sudah tentu perubahan yang akan dilakukan nanti akan mendapat bantahan.

“Jika mahu menilai pencapaian sebenar, rasanya masih banyak yang perlu dilakukan dan ia mustahil dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.

“Kebanyakannya sedang dalam pelaksanaan. Kita harap tahun 2020 nanti akan lebih banyak pencapaian yang boleh dibanggakan, dengan kadar yang munasabah,” katanya.

Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");