Berita Hari Ini

Kes Rafizi: Siasat Jika Pegawai AGC Diperguna, Kata Peguam

PETALING JAYA: Seorang peguam mencadangkan Pejabat Peguam Negara (AGC) menyiasat kemungkinan pegawainya dipergunakan pihak tertentu dalam membuat rayuan pembebasan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata jika terbukti wujud elemen “malafide” iaitu berniat jahat atau dipergunakan pihak luar AGC, individu terbabit wajar dipecat.

“Mahkamah sudah putuskan, jadi kenapa pegawai pejabat peguam negara ini nak teruskan rayuan? Adakah nak teruskan amalan kerajaan lama yang rayu kes kalah atau dipergunakan oleh pihak tak suka Rafizi.

“Buat satu perbicaraan dalaman, jika terbukti dia memang ada niat jahat, diarahkan oleh seseorang yang di luar pejabat peguam negara, maka boleh dikenakan tindakan buang.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga boleh ambil tindakan kerana salah guna kuasa,” katanya kepada FMT.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas terkejut apabila jabatannya memfailkan rayuan terhadap pembebasan Rafizi bulan lepas dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November lalu melepas dan membebaskan Rafizi selepas membatalkan sabitan mendedahkan akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Salah seorang peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustapha berkata pihak pembelaan diberitahu mengenai rayuan tersebut melalui emel daripada pendaftar Mahkamah Rayuan, semalam.

Mengulas lanjut, Syed Iskandar berkata hukuman lebih berat wajar dikenakan ke atas individu yang jelas memahami undang-undang namun tetap tidak menghormati ketua dalam perkara tersebut memetik laporan FMT.

“Jangan memandai-mandai kalau bos tak bagi arahan. Peguam negara perlu ambil tindakan tegas kepada pegawai itu. Kalau perlu buang sahaja tak perlu tukar supaya menjadi pengajaran kepada pegawai-pegawai lain.

“Sebab kalau orang biasa yang tahu undang-undang pun tak boleh mengelak daripada undang-undang apatah lagi orang yang paling senior duduk dalam Pejabat Peguam Negara.

“Jadi sepatutnya hukuman lebih berat lagi untuk orang yang memandai-mandai dalam perkara ini,” katanya.

Menyentuh soal keputusan Tommy untuk menarik balik rayuan dibuat itu, Syed Iskandar berkata ia tidak akan menjejaskan reputasi kerana menarik balik rayuan atau pendakwaan amalan biasa.

Beliau juga tidak menolak agar pengasingan kuasa peguam negara dengan pendakwa raya disegerakan namun katanya, kuasa mutlak peguam negara perlu dihormati.

“Cadangan asing kuasa ini sudah lama dan dibawa dalam kempen pilihan raya. Jadi kalau nak laksanakan, segerakanlah. Tapi kena ingat, kuasa mutlak peguam negara perlu dihormati.

“Kalau kes berprofil tinggi, sensitif walaupun ada pengasingan kuasa masih kena rujuk peguam negara. Secara dasar asing kuasa bagus tapi tidaklah sampai membolehkan perkara-perkara tidak sepatutnya berlaku. Pastikan tiada kezaliman.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");