Sukan Hari Ini

Kim Swee Akur Keputusan FAM

PENGENDALI skuad bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak melanjutkan kontraknya yang bakal berakhir hujung tahun ini.

Ia selepas pasukan Harimau Muda gagal melangkah ke separuh akhir saingan bola sepak Sukan SEA selepas tewas 3-1 kepada Kemboja.

Kim Swee berkata, dalam dunia bola sepak jurulatih dan pasukan dinilai berdasarkan kepada keputusan yang diperolehi dalam kejohanan disertai.

“Jika sebelum ini saya memenangi Piala Dunia sekalipun tetapi andai semalam (kelmarin) saya kalah dengan Kemboja, perkara sama (keputusan tidak sambung kontrak) juga akan berlaku.

“Saya tidak kesal sama sekali malah berterima kasih kepada FAM kerana memberikan perluang saya bermula mengendalikan pasukan negara daripada peringkat umur muda seperti di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sehingga menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan dan kini kembali semula ke pasukan B-23.

“Pengalaman-pengalaman yang dilalui amat berharga dan pendedahan diterima daripada FAM mungkin tidak dimiliki oleh jurulatih-jurulatih di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Kim Swee berkata, keputusan tidak menyambung kontrak beliau itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sebelum pulang ke Malaysia.

“Ini merupakan keputusan pihak pengurusan dan kita perlu menghormatinya,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, katanya, beliau mahu memberikan fokus kepada Kursus Kejurulatihan PRO Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)

“Pada masa sama saya mahu tumpukan masa bersama keluarga sebelum memikirkan langkah seterusnya,” katanya.

Malaysia tempang pada kempen bola sepak Sukan SEA 2019 selepas hanya mengumpul empat mata dalam Kumpulan A dengan satu kemenangan menentang Timor Leste, seri dengan Myanmar dan kalah kepada Filipina serta Kemboja.

Ia pastinya satu tamparan hebat kerana Malaysia dilabel antara pasukan pilihan untuk mara ke perlawanan akhir namun terpaksa akur dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh pasukan terutama tuan rumah dan Kemboja kebelakangan ini.

Kim Swee turut mengakui berlaku peningatan dalam mutu permainan pasukan bola sepak di Asia Tenggara seperti Laos, Kemboja dan Filipina sejak empat tahun kebelakangan ini.

“Kita harus tahu apabila kita menjuarai atau mendapat keputusan baik dalam apa juga pertandingan, kita tidak boleh leka kerana kita harus menambahbaik program bola sepak negara.

“Filipina, Kemboja dan Laos ini mereka bukan lagi pasukan belasahan kerana telah mencapai tahap berbeza melalui program-program yang baik yang dijalankan.

“Bagi Malaysia, kita perlu fikirkan apa corak program yang perlu dilaksanakan selepas ini dengan mengambil perhatian terhadap pasukan bawah 19 tahun Kemboja yang layak ke pusingan akhir Piala AFC,” katanya.

Jelasnya, peminat bola sepak Malaysia pastinya mahukan keputusan positif dalam setiap perlawanan melibatkan pasukan negara dan mempunyai hak untuk mengkritik.

“Tapi kita perlu faham dengan situasi dan realiti sebenar di mana dahulu apabila kita sebut Filipina, Kemboja dan Laos, ramalan kita pastinya Malaysia boleh menang menentang pasukan ini.

“Bola sepak di rantau Asia Tenggara telah berubah pada masa ini di mana banyak pasukan telah berkembang dan menunjukkan mutu permainan yang bagis. Kita tidak harus leka dalam perubahan ini,” katanya.

Untuk rekod, Kim Swee pada 2011 ketika membimbing pasukan B-23 negara memenangi emas pada Sukan SEA di Palembang menumpaskan tuan rumah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");