Sukan Hari Ini

Kontrak Ong Kim Swee Dengan Skuad B-22 Tidak Disambung

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kontrak ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Ong Kim Swee yang berakhir hujung tahun ini tidak akan disambung.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan perkara berkenaan.

“Kontrak Ong sebagai ketua jurulatih skuad B-22/B-23 yang berakhir pada penghujung 2019 tidak akan disambung,” katanya.

Perkara itu diumumkan sehari selepas skuad B-22 negara yang dibarisi antara pemain muda terbaik negara, gagal mara ke peringkat separuh akhir acara bola sepak temasya Sukan SEA 2019 di Filipina dengan rekod persembahan terburuk.

Skuad bimbingan Ong beraksi hambar dalam 2 perlawanan pertama Kumpulan A berdepan Myanmar dan Filipina sebelum bangkit membenam Timor Leste 4-0 untuk terus menghidupkan peluang melangkah ke peringkat seterusnya.

Di saat hanya kemenangan perlu diraih dalam aksi terakhir kumpulan, skuad negara diaibkan dengan kekalahan 1-3 di tangan pasukan bukan pilihan, Kemboja yang menyaksikan skuad Angkor Warriors itu meraih kemenangan pertama berdepan Malaysia dalam sejarah penganjuran Sukan SEA.

Stuart berkata satu pertemuan bersama Ong akan diadakan bagi mendapatkan penjelasan pengendali berusia 48 tahun itu bersama laporan penuh mengenai prestasi buruk skuad negara di temasya dwitahunan itu.

“Berhubung keputusan, kami betul-betul kecewa. Kami akan melakukan post-mortem apa yang berlaku untuk pastikan perkara sama (prestasi buruk) tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Diharapkan perkara itu dapat diperbaiki,” tambah Stuart.

Ini merupakan kegagalan kedua Ong dalam membawa Malaysia mara ke separuh akhir sepanjang lima edisi Sukan SEA selepas turut kecundang di peringkat kumpulan pada edisi 2015 di Singapura.

Ong sebelum ini memiliki reputasi baik bersama skuad B-22 negara apabila merangkul pingat emas pada edisi 2011 di Jakarta dan pingat perak di Kuala Lumpur pada 2017.

Beliau turut mencipta sejarah membawa Malaysia mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 sebelum melakar kejayaan membanggakan dengan menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam saingan kumpulan temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");