Perak Hari Ini

KPDNHEP Perak Giat Pantau Harga Barangan Dan Perkhidmatan Di Pangkor

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sentiasa bersiap-siaga bagi melakukan pemantauan harga barangan keperluan menjelang pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) pada 1 Januari depan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata pihaknya telah memulakan kajian dan pemantauan tersebut pada awal bulan ini.

Jelasnya pemantauan melibatkan segala jenis harga barangan dan perkhidmatan seperti hotel, restoran, salun dan sebagainya.

 

“Kita menjangkakan pengisytiharan PBC itu akan menarik kedatangan lebih ramai jumlah pelancong ke Pulau Pangkor.

“Apabila ia berlaku sudah tentu akan banyak berlaku aktiviti perdagangan. Kita mengesyaki mungkin akan ada peniaga yang mengambil kesempatan.

“Oleh demikian, kita telah membuat kajian dan mengambil harga pada semasa dan harga pada Januari nanti. Ia kemudian akan diteruskan pada setiap suku tahun,” katanya.

Ujar Saifullizan, tindakan KPDNHEP negeri itu ekoran aduan pelancong ke Pulau Pangkor yang mengadu berlakunya peningkatan harga di restoran-restoran di situ setiap kali tibanya musim cuti sekolah.

Tambah beliau, selain Kerajaan Perak, KPDNHEP negeri juga telah mengadakan kerjasama dengan Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Pulau Pangkor bagi memberi pendedahan berkaitan mekanisme PBC.

“Kita telah mengadakan taklimat bersama mereka. Kita juga ada mengadakan sesi penguatkuasaan KPDNHEP. Turut dijemput Majlis Perbandaran Manjung.

“Kita beritahu apa-apa langkah dan tindakan yang boleh dibuat sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

“KPDNHEP Perak akan membuat lawatan penanda aras ke salah sebuah pulau bebas cukai bagi kita belajar bagaimana mempraktiskan pelaksaan bebas cukai,” katanya.

Selain itu, katanya lagi pemantauan harga perkhidmatan dan barangan di Pulau Pangkor pada 1 Januari akan dilaksanakan.

Beliau berkata demikian pada Lawatan Bersempena Dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaab Krismas 2019 di Pasaraya Tesco Ipoh, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Seksyen Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, V Ravichandran serta Pengurus Tesco Ipoh, Selvaa Thamby Rajah.

Mengulas lanjut, Saifullizan berkata skim kawalan harga tersebut telah dimulakan semalam dan dijadualkan berakhir pada 31 Disember ini.

Jelasnya secara umumnya para peniaga di pasar awam, pasar tani serta pasaraya di seluruh negeri telah mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019.

Katanya lagi sebanyak 14 barangan telah disenaraikan berbanding 11 barangan pada skim kawalan harga barangan yang lalu.

Antara barangannya termasuk ayam belanda import, daging kambing dan biri-biri import bertulang, telur ayam, lada benggala hijau serta kubis bulat import.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");