Perak Hari Ini

Laporkan Kepada Pihak Berkuasa Terlebih Dahulu – Tegur MB Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak khususnya orang ramai dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan negeri.

Katanya sekiranya didapati terdapat isu seperti berkaitan dengan alam sekitar, mereka diminta untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Perkara-perkara sebegini harus dilaporkan kepada pihak berkuasa, jangan terus pergi kepada media. Saya perlu mendapatkan input daripada pelbagai pihak seperti pegawai daerah dan orang ramai.

“Ada kalanya ia memerlukan tindakan segera. Jika ia sudah dilaporkan kepada media, pihak yang terlibat mungkin boleh ‘cover up’ dengan cepat dan tidak sempat kita hendak mengambil tindakan.

“Saya tekankan jika ada berlaku masalah, laporkan pada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil,” katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Katanya lagi beliau kesal dengan tindakan segelintir pihak yang seolah-olah mahu menjuarai isu-isu berkenaan serta seolah-olah dengan sengaja mahu menimbulkan isu di negeri ini.

Tegasnya pentadbiran di Perak berjalan dengan lancar dan tidak timbul sebarang masalah namun beliau kesal dengan segelintir pihak yang seolah-olah mahu menyatakan yang sebaliknya.

“Anda harus melaporkan kepada saya dan bekerja rapat dengan kerajaan. Ia supaya kerajaan dapat mengambil tindakan dalam ke arah untuk kita menyelamatkan bumi kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung dakwaan sebuah NGO yang menyebut bahawa kira-kira 20 hektar daripada 500.2 hektar kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong berhampiran Chemor telah digondolkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");