Perak Hari Ini

Lembah Sahom Tawar Percutian Pengalaman, Ekopelancongan Yang Menarik Untuk Keluarga

KAMPAR: Siapa sangka di sebalik keindahan suasana hijau di daerah Gopeng, terdapat sebuah kawasan peranginan di Lembah Sahom, dekat sini berkonsepkan ekopelancongan yang sesuai untuk seisi keluarga.

Berada dalam kawasan bekas tapak ladang sawit milik persendirian, Sahom Valley Agro dan Eco Resort yang berkeluasan lebih 50 ekar itu menyediakan elemen percutian pengalaman yang lengkap dengan tempat penginapan dan kawasan riadah.

Terdapat tiga tempat penginapan yang ada di Sahom Valley Agro dan Eco Resort iaitu Kampung Warisan, Kampung Tepian Sungai serta Kampung Buluh.

Menariknya kesemua tempat penginapan itu mempunyai tarikan yang tersendiri seperti Kampung Warisan yang mempunyai kolam mandi persendirian yang besar selain dilengkapi dengan gelongsor air.

Sementara Kampung Tepian Sungai serta Kampung Buluh pula, betul-betul berada berhampiran dengan Sungai Dipang dan menjadikan ia sebagai tempat penginapan yang sesuai bagi mereka yang mahu lari sebentar daripada hiruk-pikuk kota raya.

Keunikan Kampung Buluh adalah bahan binaan chalet di situ hampir kesemuanya dibuat daripada buluh manakala bilik mandi dibina dengan bahan binaan batuan semula jadi.

Selain aktiviti berkelah dan mandi-manda, kawasan persekitaran Kampung Buluh yang luas itu juga membolehkan karavan, atau ‘campervan’ dan ‘motorhome’ ditempatkan di sini.

Hasil tinjauan ke kawasan tersebut baru-baru ini, terdapat dua karavan yang telah bermalam di situ.

Menurut Pengusaha Sahom Valley Agro dan Eco Resort, Shariff Ali Jabad Ali selain daripada itu, terdapat enam lagi kawasan penginapan yang juga berada berhampiran antaranya, Embun Resort Lake Sahom, Rocky garden, La’Cottage Cafe and Chalet, serta Damai Chalet.

 

 

Katanya terdapat sekitar 100 pusat penginapan yang berada di Lembah Sahom.

Tambahnya lagi, musim buah-buahan khususnya musim durian adalah sebagai satu tarikan dan nilai tambah di Sahom Valley Agro dan Eco Resort kerana terdapat dusun durian yang berada di pusat peranginan itu.

Surau terapung

“Kita ada dusun durian dan kebun sayur yang boleh dipetik serta terus dimasak oleh pengunjung di sini.

“Selain itu, di sini juga mempunyai tempat yang sesuai untuk membuat sebarang bentuk aktiviti ‘team building’ atau aktiviti keluarga.

 

“Kita mempunyai zoo mini yang dipanggil ‘Lost World Of Sahom’ yang mana terdapat pelbagai jenis haiwan seperti kuda, rusa, ular, kambing dan lain-lain di sini,” katanya.

 

Selain itu, terdapat juga aktiviti menarik lain yang boleh dicuba pengunjung ke sini antaranya ‘flying fox’, berkayak, memanah, memancing dan sebagainya.

Katanya lagi pusat peranginan yang beroperasi sekitar lima tahun itu sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan khususnya apabila tiba musim cuti sekolah.

Ia diakui oleh salah seorang pengunjung, Halimah Abdul Wahab, 53, yang mana katanya semua ahli keluarganya khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur menjadikan Lembah Sahom sebagai lokasi wajib untuk mereka meluangkan masa bersama.

“Di sini terdapat pelbagai program yang diadakan, ditambah pula dengan musim buah durian yang ia menjadikan kawasan di sini sangat meriah.

“Ahli keluarga saya yang tinggal dari luar kawasan ini sentiasa mahu ke sini. Ada kalanya pada setiap bulan pasti kami ke sini sama ada untuk berkelah ataupun menginap di sini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");