Sukan Hari Ini
Like

Liga Hoki Perdana Malaysia Hilang Seri

December 27, 2019
299 Views
0 Comments
2 minutes read
Liga Hoki Perdana Malaysia Hilang Seri

KUALA LUMPUR: Liga Hoki Perdana Malaysia dijangka hilang serinya apabila kebanyakan pasukan utama dilihat gagal menambat import bertaraf dunia bagi musim 2020.

Sebaliknya, penyakit suka mengikat pemain import ‘kitar semula’ seperti Liga Malaysia (bola sepak) kini turut merebak ke liga hoki dengan pasukan gergasi – Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan UniKL menyenaraikan sebahagian besar muka sama.

Ini selepas juara bertahan THT mengesahkan mereka mengekalkan khidmat gandingan Korea Selatan, Jang Jonhyun dan Jung Manjae bersama Shakeel Butt (Pakistan) dengan satu-satunya pembelian baharu mereka adalah Umar Bhutta yang juga bekas penyerang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

UniKL yang juga juara Piala TNB 2019 difahamkan terus menagih khidmat penjaga gol Ireland, David Harte bersama Tim Deavin dan Kieran Govers (Australia).

Pendatang baharu, Hockademy KL pula diperkuatkan kehadiran tiga pemain antarabangsa Pakistan – Ahmad Nadeem, Ali Rizwan dan Rana Suhail Riaz dengan UiTM menyambar khidmat tenaga import dari Jepun, Barry Miyu.

Senarai import itu pastinya mencetuskan persoalan terhadap tahap dan kualiti Liga Perdana 2020 yang saban tahun kian merosot termasuk kurangnya sambutan pasukan terhadapnya.

Bagi ketua jurulatih baharu THT, Dhaarma Raj Abdullah, pihaknya sudah menjangkakan perkara ini sejak awal lagi memandangkan Liga Perdana kali ini bertembung dengan tahun penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Ya, memang tahun ini kebanyakan pasukan mendapat tenaga import yang sudah bersara daripada arena hoki antarabangsa.

“Kebiasaannya pada tahun berlangsungnya Sukan Olimpik memang sukar untuk mana-mana pasukan mengikat pemain import ternama dunia kerana kebanyakan negara enggan melepaskan pemain utama mereka.

“Apapun, kita masih bernasib baik kerana Pakistan dan Korea Selatan tidak layak ke Sukan Olimpik, jadi boleh dapatkan pemain dari negara terbabit,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih UiTM, Meor Shahril Shaarani, berkata tarikh liga yang bertembung dengan Sukan Olimpik 2020 tidak memberi impak kepada pasukannya kerana mereka hanya mempunyai peruntukan kecil.

“Kita hanya mengikat dua daripada empat pemain import yang dibenarkan, lagipun 60 peratus pasukan UiTM diperkuatkan pemain yang menuntut di universiti dengan bakinya adalah pemain jemputan,” katanya.

Berbeza dengan pasukan adik dan abang daripada Tenaga Nasional Berhad – TNB dan TNB Thunderbolts yang kekal dengan tradisi untuk menggunakan sepenuhnya bakat tempatan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.