Sukan Hari Ini

Liga-M Bermula Lewat Tidak Jejas Skuad Kebangsaan

KUALA LUMPUR, — Persiapan skuad kebangsaan menghadapi tiga aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dijangka tidak terkesan dengan jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 yang bermula lebih lewat berbanding 10 tahun sebelum ini.

Liga-M musim depan dijadual bermula pada 28 Feb, empat minggu sebelum skuad Harimau Malaya mengharungi dua aksi getir berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil masing-masing pada 26 dan 31 Mac dalam saingan Kumpulan G.

Jadual itu dilihat seakan tidak memihak Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan skuad kebangsaan yang memerlukan sekurang-kurangnya 10 hari untuk menjalani kem latihan pusat sebelum perlawanan, namun pengendali berusia 51 tahun itu tampil mempertahankan jadual tersebut.

Dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini, Cheng Hoe menjelaskan beliau telah mengadakan perbincangan awal bersama badan pentadbir Liga-M itu dengan mengambil kira pelbagai faktor untuk menetapkan tarikh sepak mula sebelum kalendar dikeluarkan.

“Kami di bahagian pengurusan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL memang selalu berbincang mengenai jadual pasukan baik untuk saingan Liga Malaysia dan skuad kebangsaan.

“Dalam masa sama, saya mendapat maklum balas yang baik daripada MFL dan kami pun sama-sama bersetuju dengan keputusan tersebut,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan MFL.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada Sabtu lepas berkata Cheng Hoe sebelum ini mahukan aksi pemanas badan menentang pasukan dari Asia Barat di sana dan FAM sedia mengaturkan dua perlawanan sekiranya satu tidak memadai.

Cheng Hoe yang akan mendapat segala bantuan daripada FAM dalam misi membawa Malaysia ke Piala Asia 2023 turut mengingatkan barisan pemain supaya bijak selaraskan masa dan menyesuaikan diri dengan cepat sama ada beraksi bersama pasukan atau skuad negara.

“Saya sebagai jurulatih sentiasa positif bahawa prestasi pemain-pemain akan terus konsisten sebaik sahaja liga bermula dan saya juga tidak mahu mereka berasa terlalu padat dengan jadual kemudian cepat penat di kemudian hari”, katanya.

Liga-M 2020 akan bermula dengan pertembungan Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Juara Piala FA, Kedah untuk merebut Piala Sumbangsih yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim Larkin.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");