Perak Hari Ini

Lihat TVET Sebagai Penghasilan Tenaga Kerja Mahir- Sultan Perak

IPOH- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru agar latihan kemahiran teknikal dilihat sebagai usaha ke arah menghasilkan tenaga kerja mahir menggerakkan enjin pertumbuhan sektor industri, sekali gus membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Baginda turut menzahirkan keyakinan, bahawa para pelatih yang menguasai kemahiran teknikal, tidak sahaja terjamin peluang kerjaya, malah kemahiran yang dikuasai, apabila diperlengkap dengan pengalaman bekerja dalam tempoh tertentu, akan turut memberi kelebihan kepada lulusan ILP untuk berusaha sendiri, mencebur diri sebagai usahawan.

Baginda bertitah, langkah yang diambil oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) merupakan satu langkah bijak lagi bertepatan dengan masa seiring dengan tuntutan semasa untuk membekalkan modal insan yang memiliki kemahiran yang relevan.

“KSM telah mengambil langkah memperkenalkan program ‘Kemahiran Malaysia 2.0: Kemahiran Untuk Semua; Ke Arah Pekerjaan Kolar Baharu’ atau ‘SkillsMalaysia 2.0: Skills4All; Towards New Collar Jobs’ seiring dengan tuntuan semasa.

“Semoga langkah Kementerian ini dapat memantapkan pembangunan modal insan terbaik di bidang TVET, dan turut memantapkan latihan kemahiran bagi menyokong pembangunan industri dan penguasaan teknologi, seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi dan tenaga mahir dari negara luar,” titah baginda.

Baginda turut berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pelancaran SkillsMalaysia 2.0: Skilis4All; Towards New Collar Jobs anjuran Kementerian Sumber Manusia di Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, titah Sultan Nazrin, pekerjaan teknikal jenis baharu ini lebih menekankan kepada kemahiran secara khusus, tidak lagi ijazah akademik yang bersifat umum; menunjukkan kecenderungan permintaan tenaga kerja oleh industri masa kini bukan lagi bergantung kepada kelulusan akademik, tetapi lebih bergantung kepada kemahiran yang dimiliki.

Titah Sultan Nazrin, data-data semasa, ketara membuktikan lulusan melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional atau TVET, lebih mudah mendapat pekerjaan malahan secara keseluruhan, 92 peratus lulusan TVET mendapat pekerjaan berbanding 30,765 graduan, atau 59.9 peratus graduan peringkat pengajian ijazah pertama dan ke atas, yang belum bekerja selepas satu tahun tamat pengajian

“Perkara ini membuktikan berlakunya tidak sepadanan (mismatch) antara kelulusan graduan yang dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri.

“Negara sebaiknya melihat kepada penekanan Switzerland dalam melaksanakan program pendidikan di mana sebanyak 70 peratus pelajar peringkat menengah di Switzerland dilaporkan, menyertai TVET dengan menduduki tempat kelima dalam persaingan global, dan berada di tangga terbaik dunia daripada segi latihan vokasional, dan program kebolehpasaran graduan,” titah baginda.

Selain itu titah baginda lagi, pendekatan dan kaedah latihan di institusi TVET perlu direkayasa, dengan memperkenalkan amalan terbaik dalam pengurusan, penggubalan dan reka bentuk program serta penyampaian latihan, agar bertenaga dan dinamik dalam menghadapi cabaran perubahan teknologi, peningkatan migrasi pekerja peringkat global dan perubahan iklim dunia.

“Tumpuan perlu diberikan untuk meningkatkan kebolehan pembelajaran kendiri dengan pendekatan pembelajaran berasaskan masalah (problem based learning), pembelajaran berasaskan projek (project based learning) dan pembelajaran berasaskan pengeluaran (production based learning).

“Pembelajaran kaedah baru ini akan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan dunia pekerjaan sebenar. Kaedah pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau National Occupational Skills Standard (NOSS) yang menjadi asas kepada pembangunan kurikulum latihan, perlu dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi digital,” titah baginda.

Tambah bagida lagi, program-program TVET juga hendaklah memastikan para pelatih turut dilengkapkan dengan aspek-aspek soft skills, atau kemahiran insaniah, merangkumi aspek kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif, yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.

“Kemahiran Insaniah adalah antara elemen yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang bersifat global serta pesat dengan perubahan teknologi.

“Aspek etika dan moral wajib dijadikan komponen penting, agar teknokrat dan pekerja mahir yang dihasilkan berpegang kepada prinsip-prinsip amanah, integriti dan kejujuran, serta memusuhi perbuatan rasuah, tidak bersifat pecah amanah – tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa,” titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");